Pemakaian inai bagi lelaki


Di dalam kemeriahan meraikan pasangan pengantin, ramai di antara kita yang tidak mengambil inisiatif mempelajari hukum hakam agama (fiqh) mengenai perkara-perkara yang akan dilakukannya sehingga tidak menyedari sesetengah perkara yang dilakukan itu adalah haram dari sudut agama. Contoh perkara-perkara yang dilarang syarak adalah seperti bersanding di hadapan bukan muhrim, berhias-hias melampau batasan (tabarruj) serta berlebih-lebihan di dalam menyediakan makanan pada majlis walimah.

Jumhur ulama' menyatakan haram bagi lelaki memakai inai atau mewarnakan jari atau tangan kerana ia adalah khusus bagi para wanita sahaja.

Dikatakan Imam Ahmad berkata tidak dibenarkan untuk inai di bahagian kepala lelaki dan perempuan. Imam Syafi'e pula tidak membenarkan lelaki memakai inai pada tangan dan kaki kerana menyerupai perempuan kecuali jika untuk tujuan perubatan atau darurat. Imam Nawawi pula di dalam fatwa al-Majmu' berpendapat lelaki diharamkan inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut. Manakala mazhab Hanafi dan Maliki pula mengharamkan inai kepada lelaki dan perempuan kerana ia adalah sama seperti wangian berdasarkan hadith:Diriwayatkan daripada Khawlah Bint Hakim daripada ibunya bahawa Rasulullah SAW memberitahu kepada Umm Salamah, jangan sebarang wangian ketika kamu berada dlm ihram. Juga pada henna kerana ia juga adalah wangian. [Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma،اrifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-tamheed]

Salah faham tentang pertunangan


“Eh, betul ke ko dah bertunang, bila?” Tanya Ali tiba-tiba, dengar dari mulut orang barangkali.
“Aah, baru je kelmarin aku bertunang” Jawab Abu tanpa berselindung.
“Ko serius ke ni, tak ada majlis apa-apa pun aku tengok kat rumah hang” Tanya Ali lagi.
“Iye, aku serius la ni, ingat ini perkara main-main ke, meh aku terangkan bertunang dalam konsep agama macam mana, selalu kita hanya tahu adat, jadi agama lebih tinggi daripada adat taw” Jawab Abu tenang.
Bukan main berkerut lagi Ali mendengar yang kawannya sudah bertunang.

Peminangan
Apabila seorang lelaki benar-benar tertarik dengan sifat dan akhlak baik seorang wanita serta timbul keinginannya untuk berkahwin, maka tibalah masanya untuk meminang.
Meminang bermaksud seseorang lelaki menyatakan hasratnya untuk berkahwin kepada wanita yang ingin dikahwininya.

Bilakah pinangan dihalalkan dan bila pula yang diharamkan
1.  Meminang dihalalkan secara tasrih (terus terang) atau ta’rid (kiasan) jika perempuan itu bukan isteri orang, tidak berada dalam idah dan bukan perempuan yang haram dikahwini.
2.  Ta’rid (kiasan) hanya dibolehkan jika perempuan yang ingin dipinang berada dalam idah kematian suami atau idah disebabkan talak bain.
3.  Diharamkan meminang secara tasrih atau ta’rid selain dari dua keadaan di atas.



Oleh itu haram meminang perempuan yang masih dalam talak raj’ie (talak yang masih boleh dirujuk) sama ada secara tasrih atau ta’rid kerana dia masih lagi bergelar isteri dan suaminya berhak untuk rujuk kembali kepadanya.
Makna pinangan secara tasrih ialah lafaz yang hanya mempunyai satu tafsiran sahaja iaitu keinginannya untuk berkahwin. Contohnya seperti ‘aku ingin mengahwini kamu’ atau ‘selepas habis iddahmu, aku akan mengahwinimu’.
Makna pinangan secara ta’rid ialah lafaz yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran; sama ada keinginan untuk berkahwin atau sebaliknya seperti ‘awak cantik’ atau ‘ramai orang sukakan awak’ atau seumpamanya.

Hukum meminang perempuan yang telah dipinang
Haram meminang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain sekiranya pinangan sudah diterima oleh perempuan. Jika lelaki pertama tadi membenarkan kepada lelaki lain untuk bertunang dengan tunangnya, maka ia dibolehkan.
Dalil haram berdasarkan hadis nabi saw yang sahih diriwayatkan oleh Bukhari:
“Seseorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya (saudara seIslam) sehinggalah dia meninggalkannya (membatalkan pinangannya) atau dia mengizinkan peminangan itu”.

Salah faham ketika bertunang

1.  Dalam adat Melayu, apabila lelaki meminang perempuan yang sudah menjadi pilihannya, maka akan diadakan majlis pertunangan iaitu seperti kedua-dua belah pihak keluarga akan bertemu antara satu sama lain dan majlis pertukaran cincin sebagai tanda pertunangan. Ia tidak digalakkan di dalam Islam kerana ia banyak membawa kepada pembaziran, walau bagaimanapun adat tersebut masih boleh dipakai, tetapi lebih afdhal jika kita meletakkan agama di atas berbanding adat.
Di dalam Islam tidak perlu begitu, cukup sahaja lelaki menyatakan hasrat kepada perempuan yang menjadi pilihannya iaitu ‘aku ingin mengahwini kamu’, dan perempuan tersebut sedia menerima pinangan si lelaki.

2.  Peminangan boleh berlaku sama ada persetujuan daripada pihak perempuan dengan berhubung  si perempuan secara langsung atau pun berhubung dengan keluarga perempuan melalui orang tengah. Sekiranya ingin berhubung dengan si perempuan secara terus, maka ia dibolehkan dengan syarat si perempuan tersebut bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri (18 tahun ke atas mengikut uruf umum sekarang).
Tetapi sekiranya si perempuan itu dungu atau masih belum habis sekolah lagi, maka dia hendaklah mendapat persetujuan daripada ibu bapanya terlebih dahulu. Takut-takut tersilap dalam membuat pemilihan.

3.  Di dalam bertunang Islam memberi kelonggaran sedikit kepada lelaki dan perempuan untuk berkomunikasi, tetapi selain daripada itu iaitu dalam konteks berkawan contohnya, Islam melarang lelaki dan perempuan berkomunikasi kecuali jika mempunyai sebab-sebab yang diizinkan oleh syara’.
Walaupun Islam memberi kelonggaran sedikit kepada lelaki dan perempuan semasa tempoh bertunang untuk kenal hati budi masing-masing, Islam masih lagi melarang pasangan tunang untuk keluar berdua tanpa ditemani oleh mahram.

4.  Walaupun Islam memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan tunang untuk berkomunikasi, mereka juga harus menjaga komunikasi mereka dengan baik seperti tidak membicarakan perkara yang lucah, perkara yang membawa kepada maksiat, perkara yang membuang masa dan tidak bermanfaat.
Jika mereka membicarakan perkara melibatkan agama seperti tazkirah, saling menasihati, saling memberi dorongan dan sokongan yang positif dan banyak lagi. Maka ia sangat-sangat digalakkan dalam persediaan ke alam rumah tangga.

5.  Tidak memikirkan perkara-perkara yang negatif. Ini adalah perkara yang sangat penting dalam menjaga keharmonian ketika fatrah bertunang. Masing-masing tahu menjaga tanggungjawab diri sendiri, sebagai contoh yang saya boleh katakan jika salah seorang tidak menjaga amanah dan tidak bertanggungjawab, mungkin si lelaki atau si perempuan bermain kayu tiga atau sebagainya, maka mereka akan lebih banyak membuang masa dengan bergaduh dan risau terhadap pasangan tunang.
Bukankah ini telah merosakkan hati dan keharmonian dalam fatrah bertunang, banyak membuang masa dalam memikirkan hal yang remeh temeh. Sepatutnya masa itu sangat-sangat penting dalam membuat persediaan seperti melengkapkan diri dengan disiplin ilmu agama dan amalan. Sebab itulah agama sangat menggalakkan agar calon yang ingin berkahwin mencari pasangan yang faham agama dan baik akhlaknya.

6.  Minta putus jika pasangan tunang tidak elok budi pekertinya. Perkara ini sangat penting dalam fatrah pertunangan. Berapa ramai orang yang tahu mengenai budi pekerti tunangnya yang buruk, tetapi mereka membiarkan sahaja tanpa membuat apa-apa keputusan.
Sepatutnya mereka boleh minta putus agar tidak menyesal di kemudian hari. Contohnya seperti tunang yang panas baran yang tahunya hendak memukul, tunang yang selalu tinggal solat, tunang yang tidak mahu memahami agama walaupun sudah dinasihati berkali-kali, tunang yang suka dengan maksiat, mengajak kita keluar berdua-duaan serta mengambil kesempatan, dan banyak lagi. Maka di sini kita perlu ambil perhatian yang sangat serius.


Kesimpulan
Mencari tunang yang soleh/solehah sudah menjadi kemestian kepada pasangan calon yang ingin berkahwin, Kerana perkara ini akan membawa kesan yang sangat besar selepas bergelar isteri atau suami kelak seperti hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekira kamu tidak melakukannya, nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi” (Riwayat Tirmizi)
“Dunia adalah bahan keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan yang solehah” (Riwayat Muslim)

Kebenaran hadis ini kita telah lihat keadaan dunia pada zaman kini, berapa ramai manusia yang memilih calon suami atau isteri berdasarkan nafsu dan tidak meletakkan agama serta akhlak sebagai yang utama. Maka kita sudah lihat kerosakan di sana-sini akibat dari kesilapan yang telah dilakukan. Keluarga yang di bina menjadi porak peranda.
Contohnya, tiada kebahagiaan dalam rumah tangga kerana hilang keberkatan, anak-anak yang bakal dilahirkan menjadi jahat, masing-masing suka bergaduh, keluarga yang suka kan maksiat dan pelbagai lagi masalah keluarga jika hendak disenaraikan akibat kita tidak menjaganya dari awal.
Maka di sini, Islam sangat menjaga kemaslahatan ummah iaitu dengan menjaga keharmonian rumah tangga semenjak dari pemilihan calon dari awal. Kita sudah sedia maklum bahawa tujuan perkahwinan adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia. Setiap manusia inginkan kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga seperti firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan di antara-antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, kasih sayang dan belas kasihan”. Arrum ayat 21.

Lagi firman Allah swt yang bermaksud:

“Mereka (isteri-isteri kamu) adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka”. Al-baqaroh ayat 117.
Ayat di atas mengibaratkan suami isteri sebagai pakaian bagi pasangannya, kerana masing-masing saling melindungi pasangannya. Sekiranya kita memilih pasangan yang buruk akhlaknya, sudah pasti dia bukan pelindung yang baik, malah menjadikan kita sebagai mangsa kezalimannya.
Wallahu a’lam.


Berkapel & Displin Dalam Bertunang




Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada dilandasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan
Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :- 


1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :
Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).
Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).
Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)
2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :
Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).
Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)
3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :
Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).
Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)
4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam. 
6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.
7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-


  1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
  2. Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
  3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
  4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
  5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
  6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
  7. Awas daripada bertukar gambar.
  8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.


Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. 

Sekian, Wallahu'alam.


Ust Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
15 Disember 2006

Syarat -syarat peminangan


MEMINANG adalah permintaan lelaki terhadap perempuan untuk dijadikan isteri. Sebelum urusan peminangan dilakukan ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi supaya tidak menyalahi apa yang ditetapkan Islam dan memudahkan tercapai tujuannya.”
Firman Allah di dalam surah Al-Furqan yang bermaksud :
 Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Syarat Pertama: Perempuan hendak dipinang bukan menjadi isteri kepada lelaki lain.
Lelaki yang menjalin hubungan dengan isteri orang sering menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’ sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya. Kenyataan itu juga bermaksud ‘meminang’.
Peminangan itu akan mendorong perempuan meminta cerai daripada suaminya sebagai jalan untuknya berkahwin dengan kekasihnya. Sesungguhnya perceraian amat ditegah oleh Islam.
Adalah menjadi satu kesalahan besar mana-mana isteri meminta cerai daripada suami tanpa apa-apa kesalahan dilakukan oleh suami. Sabda Rasulullah bermaksud: “Mana-mana perempuan yang meminta suaminya menjatuhkan talak tanpa apa-apa kesalahan, maka haramlah ke atasnya bau syurga.”
Perempuan yang masih bergelar isteri, haram dipinang oleh mana-mana lelaki lain kerana dia menjadi hak mutlak suaminya. Seorang isteri hanya putus hubungan dengan suami selepas dia diceraikan atau bercerai mati dan tamat edahnya.
Islam amat mementingkan hubungan suami isteri yang baik sepanjang masa. Jadi, isteri ditegah sama sekali menaruh minat kepada lelaki lain. Lelaki pula diharamkan menaruh minat kepada mana-mana perempuan yang masih bergelar isteri bagi mengelakkan perkara buruk.
Syarat Kedua: Perempuan yang hendak dipinang bukan tunangan lelaki lain.
Larangan lelaki meminang perempuan menjadi tunangan lelaki lain dinyatakan melalui sabda Rasulullah bermaksud: “Seorang Mukmin adalah saudara bagi Mukmin yang lain. Oleh itu tidak halal dia membeli pembelian saudaranya, dan tidak halal pula dia meminang pinangan saudaranya itu.” (Hadis riwayat Muslim).
Sesungguhnya seperti mana perempuan yang berkahwin, perempuan yang menjadi tunangan orang juga pasti tidak akan dilakukan peminangan oleh keluarga secara rasmi. Apa yang sering berlaku ialah masih ada lelaki menaruh minat terhadap perempuan yang sudah bertunang.
Alasan bahawa ikatan pertunangan boleh diputuskan bila-bila masa saja sering dijadikan alasan oleh lelaki yang ingin merampas tunangan orang. Bahkan, perempuan yang bertunang juga mudah terpikat kepada lelaki lain kerana ikatan pertunangan sekadar satu janji dan bukannya rugi apa-apa jika diputuskan.
Tambahan pula, ada ikatan pertunangan yang sebenarnya tidak disukai oleh perempuan berkenaan. Pertunangan itu sebenarnya di atas kehendak keluarga.
Jadi, jika ada lelaki lain ingin memikatnya atau kekasih pilihan, maka memberi semangat untuk memutuskan pertunangan.
Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan perempuan yang telah bertunang samalah seperti merampas hak orang lain. Sifat sedemikian boleh menyebabkan perbalahan di antara lelaki yang saling ingin memiliki perempuan yang sama.
Islam amat mementingkan hubungan persaudaraan. Maka sesiapa yang memutuskan persaudaraan amat dicela sifatnya. Sesungguhnya ditegaskan tidak beriman seseorang itu sehingga dia kasih saudaranya sebagaimana dia mengasihi diri sendiri.
Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki. Perkara itu mungkin juga berlaku di atas permintaan pihak perempuan dan dipersetujui oleh pihak lelaki.
Perempuan telah bertunang juga boleh dipinang jika diizinkan oleh tunangnya. Keadaan ini di mana tunangnya bersedia memutuskan pertunangan jika ada lelaki lain ingin meminang tunangnya. Hakikatnya, pertunangan itu belum diputuskan sehingga ada lelaki lain meminang perempuan itu.
Perkara itu ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda Baginda bermaksud: “Seorang lelaki tidak boleh meminang pinangan lelaki lain, sehingga lelaki pertama yang meminangnya membatalkannya, atau mengizinkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Syarat Ketiga: Perempuan yang hendak dipinang tidak dalam idah.
Idah ialah masa selepas diceraikan sehingga genap tempohnya yang membolehkan perempuan berkahwin semula. Masa edah ialah tiga kali haid atau 100 hari bagi wanita yang diceraikan atau kematian suaminya.
Dalam masa idah perempuan tidak boleh berkahwin. Wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan talak raji (talak satu dan dua), boleh dirujuk kembali oleh suaminya pada bila-bila masa yang dikehendakinya, selagi tempoh idahnya belum tamat. Talak raji ialah talak yang boleh dirujuk semula.
Perkara ini ada dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan (bekas) suami mereka lebih berhak kembali kepada mereka (rujuk), (dalam masa edah raji), jika mereka menghendaki perdamaian.” (Surah al-Baqarah, ayat 228).
Isteri ditalak dengan talak bain (talak tiga), juga perlu melalui tempoh edah. Edah bagi memastikan dia benar-benar tidak mengandungkan zuriat (dapat pastikan dengan setelah tiga kali suci haid) bekas suaminya. Jika dia mengandung, edahnya dilanjutkan sehingga melahirkan kandungan.
Janda diceraikan dengan talak bain tidak boleh dirujuk atau berkahwin semula dengan bekas suaminya. Bagaimanapun, peluang untuk kedua-duanya berkahwin semula hanya ada setelah wanita itu berkahwin dengan lelaki lain, dan di antara kedua-duanya telah bercampur kemudian diceraikan pula oleh suami kedua.
Perlu ditegaskan, perkahwinan dengan suami baru itu perlu dilakukan dengan niat perkahwinan sebenarnya. Maksudnya perkahwinan yang ingin berkekalan sepanjang hayat. Perceraian (kemudian jika berlaku) tidak terlintas di dalam hati kedua-duanya.
Amalan ‘cinta buta’ seperti dilakukan dalam masyarakat sebenarnya tidak wujud dalam hukum agama. Cina buta jika dirancang dan diniatkan, maka perkahwinan itu tidak sah. Lelaki yang dipertanggungjawabkan sebagai cina buta telah ditetapkan supaya menceraikan isteri dalam tempoh tertentu selepas berkahwin.
Perbuatan itu sama dengan kahwin kontrak atau kahwin mutaah. Kahwin mutaah diharamkan atau tidak sah. Justeru, syarat ‘kahwin’ bagi membolehkan isteri dicerai bain berkahwin semula dengan suami asal tidak sah.
Bagaimanapun, perkahwinan itu sah jika lelaki yang dijadikan ‘cina buta’ itu tidak mengetahui perkara sebenar. Dia berkahwin dengan niat baik, tetapi dipaksa menceraikan isterinya atau isteri memohon cerai bagi membolehkan berkahwin dengan bekas suami. Namun, terimalah balasan dosa mereka yang sengaja melakukan perbuatan itu.
Janda ditalak dengan talak bain dan balu kematian suami boleh dipinang dengan cara sindiran ketika masih dalam edah. Maksud sindiran ialah ia tidak dinyatakan secara terus terang. Perbuatan itu sekadar memberi ‘isyarat’ keinginan hati yang mana difahami oleh perempuan itu.
Syarat Keempat: Perempuan yang hendak dipinang mestilah sah nikah dengannya atau bukan muhrimnya. Haram bagi seorang lelaki meminang wanita muhrimnya, kerana di antara kedua-duanya diharamkan nikah.
Perempuan yang diharamkan dikahwini ada dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mentuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengkahwininya.” (Surah al-Nisa, ayat 32).
Ikatan pertunangan bermakna persetujuan perempuan dan lelaki berkahwin pada suatu masa ditetapkan. Namun, ikatan pertunangan bukanlah sebagai kebenaran membolehkan lelaki dan perempuan bergaul bebas.
Lelaki dan perempuan yang bertunang masih terikat dengan hukum halal dan haram seperti mana hubungan bukan muhrim.
Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Alasan bahawa mereka akan berkahwin selepas itu bukanlah bermakna semuanya boleh dilakukan sepertimana pasangan yang telah berkahwin. Bahkan ada ibu baya yang menggalakkan anak yang bertunang agar sering keluar bersama-sama dengan alasan mencari keserasian dan menyuburkan perasaan cinta.
Ikatan pertunangan sekadar satu perjanjian antara lelaki dan perempuan yang setuju menjadi suami isteri pada masa akan datang. Ibu bapa yang menggalak atau membiarkan anak mereka bebas bergaul dengan tunang akan menanggung perbuatan dosa yang dilakukan oleh anaknya.
Jika dirasakan ikatan pertunangan itu menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan. Tindakan itu dapat mengelakkan daripada berlaku keterlanjuran.
Tambahan pula, dalam tempoh pertunangan yang lama, sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan pertunangan. Banyak cabaran dan kerenah yang terpaksa dihadapi oleh pasangan bertunang.
Sering kali ada pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan fitnah dan usaha memutuskan pertunangan itu. Perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang iri hati melihat pasangan yang bakal berkahwin dan menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga kemudiannya.
Maka, untuk menjamin pertunangan berakhir dengan kebahagiaan, wajarlah perkahwinan disegerakan. Lebih awal berkahwin, lebih cepat menikmati apa yang diharapkan melalui perkahwinan.
Kebahagiaan hidup berkeluarga adalah sebahagian daripada nikmat yang Allah janjikan dalam hubungan lelaki dan perempuan.
Berkahwin awal antara lain berpeluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan berkahwin perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai. Zuriat yang ramai menyediakan rezeki yang lebih luas dan kehidupan yang lebih bahagia.
Pasangan yang melahirkan zuriat ramai sebenarnya menyempurnakan hasrat Rasulullah yang inginkan umat yang ramai pada akhirat nanti. Sabda Rasulullah bermaksud:“Berkahwinlah kamu dan mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai di akhirat nanti.”

TUGASAN ESEI DAN PEMBENTANGAN (KELAS DKA 3C)



   
KUMPULAN 1
 (MUAWIYAH BIN ABU SUFYAN: PENGASAS KERAJAAN UMAIYYAH)
1.      MUHAMMAD SHAHDAN BIN MARUAN
2.      MUHAMMAD NIZAM BIN JASMAN
3.      MUHD AMIN BIN HJ. YUSUF
4.      MUHD IKRAM BIN AZIZ

KUMPULAN 2
(KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ: PENAKLUK DUNIA BERJIWA HAMBA)
1.      NUR FITRAH NADIA BT RAZALI
2.      SITI ZULAIKHA BT ZUBIR
3.      SUHALI AYUNI BT MOHAMED SHUBURI

KUMPULAN 3 
(KHALIFAH HARUN AR-RASYID: PENCINTA ILMU PENGETAHUAN)
1.      MOHD AIZAT 
2.      MUHAMAD FARID B. KAMAL AZLI
3.      HASMAL PITRI B. DAMIRI
4.      MOHD IKRAM BIN AZIZ

KUMPULAN 4
( SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH: PENAKLUK KOTA KONSTANTINOPEL)

1.      RAUDHAH ADIBAH BT. AHMAD ZUBIR
2.      NURUL IZZAH FASIHAH BT. ABDUL LATIF
3.      SITI HANIM BT AMIRUDDIN
4.      SITI AMIRAH BT MOHD SAIFULLAH

KUMPULAN 5
 (KRISIS DI SELATAN THAILAND)
1.      MUHAMMAD IZZUL IZHAR BIN ZAMRI
2.      MUHAMMAD IKHMAL BIN RAMLI
3.      MUHAMMAD SYAZZUAN BIN SHAHIDAN
4.      KONG YEW KEN

KUMPULAN 6
 (PERGOLAKAN SYIRIA ISU SEJAGAT)
1.      NURUL FATIHAH BINTI ADNAN
2.      RAJA NUR SHAREENA BINTI RAJA AHMAD TAJUDDIN
3.      HUMAIRA NOR HIDAYAH BINTI YA'AKOP

KUMPULAN 7
(TOKOH: TAN SRI SYED MOKHTAR AL- BUKHARY)
1.      MOHD ALIFF FITRY BIN ZULKIFLEE
2.      MOHD NAZRUL HARIZ B. BAHARI NOR
3.      MOHD HAZIQ IRFAN BIN MOKTAR
4.      THARMAN A/L SUBRAMANIAM



PANDUAN ESEI TAMADUN ISLAM


PANDUAN ESEI TAMADUN ISLAM

SOALAN BERKAITAN TOKOH
-          LATARBELAKANG TOKOH
-          SIFAT PERIBADI
-          SUMBANGAN SEPANJANG PEMERINTAHAN
-          SIKAP POSITIF YANG BOLEH DIJADIKAN CONTOH UNTUK ANDA MENGEMBALIKAN  SEMULA TAMADUN ISLAM
-          KESIMPULAN
-          RUJUKAN

SOALAN BERKAITAN  ISU SEMASA
-          LATARBELAKANG ISU
-          FAKTOR BERLAKU
-          KESAN
-          CADANGAN   UNTUK MENGATASI ISU
-          KESIMPULAN
-          RUJUKAN

PESAN EMAK


Emak tidak pernah melalui persekolahan secara formal ketika zaman kecil, remaja mahupun dewasanya. Namun, butir-butir permata dari mulutnya cukup mengajarkan kami erti kehidupan. Emak pernah berpesan “ Masak nasi, sambil tu berselawat”’.Aku masih ingat dahulu, bagaimana emak mendidik aku untuk turun ke dapur dalam keadaan aku yang sangat suka bermain bersama kawan-kawan tidak mengira waktu pagi, petang ataupun malam. Pada waktu hampir tengahari, di kala keseronokan bermain bersama rakan-rakan, emak akan memanggil aku dari jauh,  “ Balik…,masak nasi”. Aku dengan rasa berat hati, meninggalkan sementara dunia permainan untuk pulang ke rumah sebentar hanya untuk masak nasi. Kelihatan seperti tiada apa-apa disitu. Tetapi kaedah emak itu nampaknya berjaya untuk mendekatkan aku kepada dunia dapur walaupun tidaklah pandai sangat bab masak memasak. Alam kanak-kanak kami juga diisi dengan memetik kopi di kebun. Masing-masing bersemangat untuk memenuhkan baldi atau tin masing-masing. Sekiranya baldi atau tin berbunyi, maksudnya kopi yang dipetik masih sedikit. Kalau dah banyak, tentunya tidak lagi berbunyi dan kerja memetik kopi dah hampir selesai. Namun, untuk sampai ke peringkat banyak bukanlah mudah, penat jugalah tangan. Emak sempat berpesan, “petik kopi inipun boleh dapat pahala. Cuba sambil kita petik kopi, kita berzikir”. Wah….hebatnya,bayangkan jika 500 biji yang berjaya dipetik. Allahuakbar.  Kini, memetik buah kopi hanya tinggal lipatan sejarah dalam kehidupan kami. Tiada lagi yang larat untuk mengusahakan kebun. Aku juga mengagumi bagaimana hebatnya emak dalam menangani ada di kalangan anaknya yang tidak mendapat  keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan termasuklah aku yang selalu sahaja dapat markah merah dan antara nombor tercorot.  Tiada dalam kamus pemikiran dan hati emak untuk membandingkan anaknya yang cemerlang di dalam peperiksaan dengan yang tidak berjaya. Emak tidak akan berkata “ tengok tu abang,kakak dan adik kamu, mereka tu pandai@ tengok tu anak orang sebelah dapat no.1 , cuba banding dengan kamu..”. Emak hanya menggunakan perbandingan pada perkara-perkara untuk membentuk sifat kerajinan seperti cubalah tengok anak orang sebelah tu, rajin menyapu, cubalah rajin macam dia” atau menggunakan kata-kata seumpama ini dalam keadaan sekiranya ada yang rasa berat (perkataan berat yang digunakan, bukan malas) sangat hendak basuh pinggan, emak akan mengenangkan kembali zaman sebelum adanya pili air di dapur, “Dahulu nak basuh semuanya kena pegi ke kolam depan tu, ni sekarang air dah depan matapun berat lagi nak basuh”…tersedar kami dibuatnya. Apabila ada di kalangan adikberadik menghubungi emak menyatakan tidak sempat pulang ke kampung, emak hanya berkata “ Ye takpa, masing-masing urusannya nak buat macammana, ye sesempatnya.  Apabila  ada yang mengadu tentang anak-anak atau  masalah kerja atau pembelajaran, emak hanya berkata “ ye sabar”. Emak sentiasa mengajar kami untuk berfikiran positif dan berbaik sangka. Walaupun kami semua sudah dewasa, emak terus menerus tanpa jemu  berpesan lagi. Pesan emak, dinding diri dengan membaca ayat qursi pagi dan petang. Ketika tidak solat, jangan biarkan diri kosong seharian. Bacalah zikir-zikir dan sebagainya. Itulah antara pesanan-pesanan emak. Untuk ibubapa,bersabarlah dalam mendidik anak-anak. Janganlah mengeluarkan kata-kata yang bersifat negatif terhadap anak-anak, sentiasa berdoa untuk anak-anak dan selain solat yang wajib, amalkanlah solat-solat sunat seperti solat duha. Bermaknanya  hidup ini jika kita menjaga hubungan dengan Allah, manusia dan alam. Ya Allah ya tuhan kami, ampunilah dosa kedua ibubapa kami, dosa kami, dosa keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa anak murid kami, dosa umat muslimin dan muslimat samada yang masih hidup ataupun yang terlebih dahulu telah meninggalkan kami. Berikanlah kami kekuatan untuk menuruti syariatMu. Amin...

 Insyaallah, akan datang,kita berkongsi pula pesan bapak.

Social Icons

Featured Posts