PESAN EMAK


Emak tidak pernah melalui persekolahan secara formal ketika zaman kecil, remaja mahupun dewasanya. Namun, butir-butir permata dari mulutnya cukup mengajarkan kami erti kehidupan. Emak pernah berpesan “ Masak nasi, sambil tu berselawat”’.Aku masih ingat dahulu, bagaimana emak mendidik aku untuk turun ke dapur dalam keadaan aku yang sangat suka bermain bersama kawan-kawan tidak mengira waktu pagi, petang ataupun malam. Pada waktu hampir tengahari, di kala keseronokan bermain bersama rakan-rakan, emak akan memanggil aku dari jauh,  “ Balik…,masak nasi”. Aku dengan rasa berat hati, meninggalkan sementara dunia permainan untuk pulang ke rumah sebentar hanya untuk masak nasi. Kelihatan seperti tiada apa-apa disitu. Tetapi kaedah emak itu nampaknya berjaya untuk mendekatkan aku kepada dunia dapur walaupun tidaklah pandai sangat bab masak memasak. Alam kanak-kanak kami juga diisi dengan memetik kopi di kebun. Masing-masing bersemangat untuk memenuhkan baldi atau tin masing-masing. Sekiranya baldi atau tin berbunyi, maksudnya kopi yang dipetik masih sedikit. Kalau dah banyak, tentunya tidak lagi berbunyi dan kerja memetik kopi dah hampir selesai. Namun, untuk sampai ke peringkat banyak bukanlah mudah, penat jugalah tangan. Emak sempat berpesan, “petik kopi inipun boleh dapat pahala. Cuba sambil kita petik kopi, kita berzikir”. Wah….hebatnya,bayangkan jika 500 biji yang berjaya dipetik. Allahuakbar.  Kini, memetik buah kopi hanya tinggal lipatan sejarah dalam kehidupan kami. Tiada lagi yang larat untuk mengusahakan kebun. Aku juga mengagumi bagaimana hebatnya emak dalam menangani ada di kalangan anaknya yang tidak mendapat  keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan termasuklah aku yang selalu sahaja dapat markah merah dan antara nombor tercorot.  Tiada dalam kamus pemikiran dan hati emak untuk membandingkan anaknya yang cemerlang di dalam peperiksaan dengan yang tidak berjaya. Emak tidak akan berkata “ tengok tu abang,kakak dan adik kamu, mereka tu pandai@ tengok tu anak orang sebelah dapat no.1 , cuba banding dengan kamu..”. Emak hanya menggunakan perbandingan pada perkara-perkara untuk membentuk sifat kerajinan seperti cubalah tengok anak orang sebelah tu, rajin menyapu, cubalah rajin macam dia” atau menggunakan kata-kata seumpama ini dalam keadaan sekiranya ada yang rasa berat (perkataan berat yang digunakan, bukan malas) sangat hendak basuh pinggan, emak akan mengenangkan kembali zaman sebelum adanya pili air di dapur, “Dahulu nak basuh semuanya kena pegi ke kolam depan tu, ni sekarang air dah depan matapun berat lagi nak basuh”…tersedar kami dibuatnya. Apabila ada di kalangan adikberadik menghubungi emak menyatakan tidak sempat pulang ke kampung, emak hanya berkata “ Ye takpa, masing-masing urusannya nak buat macammana, ye sesempatnya.  Apabila  ada yang mengadu tentang anak-anak atau  masalah kerja atau pembelajaran, emak hanya berkata “ ye sabar”. Emak sentiasa mengajar kami untuk berfikiran positif dan berbaik sangka. Walaupun kami semua sudah dewasa, emak terus menerus tanpa jemu  berpesan lagi. Pesan emak, dinding diri dengan membaca ayat qursi pagi dan petang. Ketika tidak solat, jangan biarkan diri kosong seharian. Bacalah zikir-zikir dan sebagainya. Itulah antara pesanan-pesanan emak. Untuk ibubapa,bersabarlah dalam mendidik anak-anak. Janganlah mengeluarkan kata-kata yang bersifat negatif terhadap anak-anak, sentiasa berdoa untuk anak-anak dan selain solat yang wajib, amalkanlah solat-solat sunat seperti solat duha. Bermaknanya  hidup ini jika kita menjaga hubungan dengan Allah, manusia dan alam. Ya Allah ya tuhan kami, ampunilah dosa kedua ibubapa kami, dosa kami, dosa keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa anak murid kami, dosa umat muslimin dan muslimat samada yang masih hidup ataupun yang terlebih dahulu telah meninggalkan kami. Berikanlah kami kekuatan untuk menuruti syariatMu. Amin...

 Insyaallah, akan datang,kita berkongsi pula pesan bapak.

Social Icons

Featured Posts