MEMINANG adalah permintaan
lelaki terhadap perempuan untuk dijadikan isteri. Sebelum urusan peminangan
dilakukan ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi supaya tidak menyalahi apa
yang ditetapkan Islam dan memudahkan tercapai tujuannya.”
Firman Allah di dalam surah
Al-Furqan yang bermaksud :
Dan juga mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai
Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami:
perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan
bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Syarat Pertama: Perempuan hendak dipinang bukan menjadi isteri
kepada lelaki lain.
Lelaki yang menjalin hubungan
dengan isteri orang sering menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’
sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya. Kenyataan itu juga bermaksud
‘meminang’.
Peminangan itu akan mendorong
perempuan meminta cerai daripada suaminya sebagai jalan untuknya berkahwin
dengan kekasihnya. Sesungguhnya perceraian amat ditegah oleh Islam.
Adalah menjadi satu kesalahan
besar mana-mana isteri meminta cerai daripada suami tanpa apa-apa kesalahan
dilakukan oleh suami. Sabda Rasulullah bermaksud: “Mana-mana perempuan
yang meminta suaminya menjatuhkan talak tanpa apa-apa kesalahan, maka haramlah
ke atasnya bau syurga.”
Perempuan yang masih bergelar
isteri, haram dipinang oleh mana-mana lelaki lain kerana dia menjadi hak mutlak
suaminya. Seorang isteri hanya putus hubungan dengan suami selepas dia
diceraikan atau bercerai mati dan tamat edahnya.
Islam amat mementingkan hubungan
suami isteri yang baik sepanjang masa. Jadi, isteri ditegah sama sekali menaruh
minat kepada lelaki lain. Lelaki pula diharamkan menaruh minat kepada mana-mana
perempuan yang masih bergelar isteri bagi mengelakkan perkara buruk.
Syarat Kedua: Perempuan yang hendak dipinang bukan tunangan lelaki
lain.
Larangan lelaki meminang
perempuan menjadi tunangan lelaki lain dinyatakan melalui sabda Rasulullah
bermaksud: “Seorang Mukmin adalah saudara bagi Mukmin yang lain.
Oleh itu tidak halal dia membeli pembelian saudaranya, dan tidak halal pula dia
meminang pinangan saudaranya itu.” (Hadis riwayat Muslim).
Sesungguhnya seperti mana
perempuan yang berkahwin, perempuan yang menjadi tunangan orang juga pasti
tidak akan dilakukan peminangan oleh keluarga secara rasmi. Apa yang sering
berlaku ialah masih ada lelaki menaruh minat terhadap perempuan yang sudah
bertunang.
Alasan bahawa ikatan pertunangan
boleh diputuskan bila-bila masa saja sering dijadikan alasan oleh lelaki yang
ingin merampas tunangan orang. Bahkan, perempuan yang bertunang juga mudah
terpikat kepada lelaki lain kerana ikatan pertunangan sekadar satu janji dan
bukannya rugi apa-apa jika diputuskan.
Tambahan pula, ada ikatan
pertunangan yang sebenarnya tidak disukai oleh perempuan berkenaan. Pertunangan
itu sebenarnya di atas kehendak keluarga.
Jadi, jika ada lelaki lain ingin
memikatnya atau kekasih pilihan, maka memberi semangat untuk memutuskan
pertunangan.
Perbuatan meminang atau menjalin
hubungan dengan perempuan yang telah bertunang samalah seperti merampas hak
orang lain. Sifat sedemikian boleh menyebabkan perbalahan di antara lelaki yang
saling ingin memiliki perempuan yang sama.
Islam amat mementingkan hubungan
persaudaraan. Maka sesiapa yang memutuskan persaudaraan amat dicela sifatnya.
Sesungguhnya ditegaskan tidak beriman seseorang itu sehingga dia kasih
saudaranya sebagaimana dia mengasihi diri sendiri.
Bagaimanapun, perempuan yang
sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak
lelaki. Perkara itu mungkin juga berlaku di atas permintaan pihak perempuan dan
dipersetujui oleh pihak lelaki.
Perempuan telah bertunang juga
boleh dipinang jika diizinkan oleh tunangnya. Keadaan ini di mana tunangnya
bersedia memutuskan pertunangan jika ada lelaki lain ingin meminang tunangnya.
Hakikatnya, pertunangan itu belum diputuskan sehingga ada lelaki lain meminang
perempuan itu.
Perkara itu ditegaskan oleh
Rasulullah melalui sabda Baginda bermaksud: “Seorang lelaki tidak boleh
meminang pinangan lelaki lain, sehingga lelaki pertama yang meminangnya
membatalkannya, atau mengizinkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Syarat Ketiga: Perempuan yang hendak dipinang tidak dalam idah.
Idah ialah masa selepas
diceraikan sehingga genap tempohnya yang membolehkan perempuan berkahwin
semula. Masa edah ialah tiga kali haid atau 100 hari bagi wanita yang
diceraikan atau kematian suaminya.
Dalam masa idah perempuan tidak
boleh berkahwin. Wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan talak raji (talak
satu dan dua), boleh dirujuk kembali oleh suaminya pada bila-bila masa yang
dikehendakinya, selagi tempoh idahnya belum tamat. Talak raji ialah talak yang
boleh dirujuk semula.
Perkara ini ada dinyatakan dalam
firman Allah yang bermaksud: “Dan (bekas) suami mereka lebih berhak
kembali kepada mereka (rujuk), (dalam masa edah raji), jika mereka menghendaki
perdamaian.” (Surah al-Baqarah, ayat 228).
Isteri ditalak dengan talak bain
(talak tiga), juga perlu melalui tempoh edah. Edah bagi memastikan dia
benar-benar tidak mengandungkan zuriat (dapat pastikan dengan setelah tiga kali
suci haid) bekas suaminya. Jika dia mengandung, edahnya dilanjutkan sehingga
melahirkan kandungan.
Janda diceraikan dengan talak
bain tidak boleh dirujuk atau berkahwin semula dengan bekas suaminya.
Bagaimanapun, peluang untuk kedua-duanya berkahwin semula hanya ada setelah
wanita itu berkahwin dengan lelaki lain, dan di antara kedua-duanya telah
bercampur kemudian diceraikan pula oleh suami kedua.
Perlu ditegaskan, perkahwinan
dengan suami baru itu perlu dilakukan dengan niat perkahwinan sebenarnya.
Maksudnya perkahwinan yang ingin berkekalan sepanjang hayat. Perceraian
(kemudian jika berlaku) tidak terlintas di dalam hati kedua-duanya.
Amalan ‘cinta buta’ seperti
dilakukan dalam masyarakat sebenarnya tidak wujud dalam hukum agama. Cina buta
jika dirancang dan diniatkan, maka perkahwinan itu tidak sah. Lelaki yang
dipertanggungjawabkan sebagai cina buta telah ditetapkan supaya menceraikan
isteri dalam tempoh tertentu selepas berkahwin.
Perbuatan itu sama dengan kahwin
kontrak atau kahwin mutaah. Kahwin mutaah diharamkan atau tidak sah. Justeru,
syarat ‘kahwin’ bagi membolehkan isteri dicerai bain berkahwin semula dengan
suami asal tidak sah.
Bagaimanapun, perkahwinan itu sah
jika lelaki yang dijadikan ‘cina buta’ itu tidak mengetahui perkara sebenar.
Dia berkahwin dengan niat baik, tetapi dipaksa menceraikan isterinya atau
isteri memohon cerai bagi membolehkan berkahwin dengan bekas suami. Namun,
terimalah balasan dosa mereka yang sengaja melakukan perbuatan itu.
Janda ditalak dengan talak bain
dan balu kematian suami boleh dipinang dengan cara sindiran ketika masih dalam
edah. Maksud sindiran ialah ia tidak dinyatakan secara terus terang. Perbuatan
itu sekadar memberi ‘isyarat’ keinginan hati yang mana difahami oleh perempuan
itu.
Syarat Keempat: Perempuan yang hendak dipinang mestilah sah nikah
dengannya atau bukan muhrimnya. Haram bagi seorang lelaki meminang
wanita muhrimnya, kerana di antara kedua-duanya diharamkan nikah.
Perempuan yang diharamkan
dikahwini ada dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Diharamkan ke atasmu
menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu,
saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara
perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara
lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang
menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mentuamu dan anak-anak
tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri
ibunya, kamu boleh mengkahwininya.” (Surah al-Nisa, ayat 32).
Ikatan pertunangan bermakna
persetujuan perempuan dan lelaki berkahwin pada suatu masa ditetapkan. Namun,
ikatan pertunangan bukanlah sebagai kebenaran membolehkan lelaki dan perempuan
bergaul bebas.
Lelaki dan perempuan yang
bertunang masih terikat dengan hukum halal dan haram seperti mana hubungan
bukan muhrim.
Ibu bapa perlu mengawal anak
perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Alasan
bahawa mereka akan berkahwin selepas itu bukanlah bermakna semuanya boleh
dilakukan sepertimana pasangan yang telah berkahwin. Bahkan ada ibu baya yang
menggalakkan anak yang bertunang agar sering keluar bersama-sama dengan alasan
mencari keserasian dan menyuburkan perasaan cinta.
Ikatan pertunangan sekadar satu
perjanjian antara lelaki dan perempuan yang setuju menjadi suami isteri pada
masa akan datang. Ibu bapa yang menggalak atau membiarkan anak mereka bebas
bergaul dengan tunang akan menanggung perbuatan dosa yang dilakukan oleh
anaknya.
Jika dirasakan ikatan pertunangan
itu menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya
perkahwinan disegerakan. Tindakan itu dapat mengelakkan daripada berlaku
keterlanjuran.
Tambahan pula, dalam tempoh
pertunangan yang lama, sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan
pertunangan. Banyak cabaran dan kerenah yang terpaksa dihadapi oleh pasangan
bertunang.
Sering kali ada pihak yang
mengambil kesempatan menyebarkan fitnah dan usaha memutuskan pertunangan itu.
Perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang iri hati melihat pasangan yang bakal
berkahwin dan menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga kemudiannya.
Maka, untuk menjamin pertunangan
berakhir dengan kebahagiaan, wajarlah perkahwinan disegerakan. Lebih awal
berkahwin, lebih cepat menikmati apa yang diharapkan melalui perkahwinan.
Kebahagiaan hidup berkeluarga
adalah sebahagian daripada nikmat yang Allah janjikan dalam hubungan lelaki dan
perempuan.
Berkahwin awal antara lain
berpeluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang
menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan berkahwin perlu
menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai. Zuriat yang ramai
menyediakan rezeki yang lebih luas dan kehidupan yang lebih bahagia.
Pasangan yang melahirkan zuriat ramai
sebenarnya menyempurnakan hasrat Rasulullah yang inginkan umat yang ramai pada
akhirat nanti. Sabda Rasulullah bermaksud:“Berkahwinlah kamu dan
mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai
di akhirat nanti.”