RAHSIA ISRA' DAN MI'RAJ

1. Isra’ Mi’raj adalah kurniaan Allah kepada Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wa Sallam demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi Rasulullah bukanlah suatu angkara murka daripada Allah dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta dan demikian juga sunnah dan dasar da’wah islamiyyah di setiap waktu ketika itu.

2. Perjalanan Isra’ Rasulullah ke Baitul Muqaddis dan Mi’raj kelapisan langit ketujuh merupakan satu peristiwa yang besar ertinya. Di antaranya menandakan bahawa Baitul Muqaddis bukanlah satu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah dan menunjukkan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat di antara kebangkitan ‘Isa bin Maryam ‘alaihissalam dengan risalah Rasulullah.

3. Susu ialah yang menjadi pilihan Rasulullah ketika Jibril membawa kepada baginda satu piala yang berisi susu dan yang satu lagi berisi arak sebagai simbolik kepada Islam adalah agama fitrah, sesuai dan seiring dengan kehendak semulajadi manusia yang suka kepada kebaikan.

4. Semua undang-undang Islam, Allah perintahkan melalui Jibril, tetapi perintah solat diterima sendiri oleh Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wa Sallam terus daripada Allah. Ini menunjukkan betapa besarnya solat di sisi Allah. Solat menjadi tiang agama.

Mu'jizat Isra' dan Mi'raj

Pada suatu malam , Jibril datang kepada nabi Muhammad  SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam yang sedang tidur di Kaabah. Jibril membawa Nabi Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam   menaiki Buraq iaitu kenderaan dari syurga dari  Masjidil al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Di Masjidil al-Aqsa, sedang berlaku perhimpunan yang sangat luar biasa. Allah menghidupkan para rasul dan para nabi untuk bertemu dengan nabi Muhammad di Masjid al-Aqsa. Ulama menyebut jumlah para rasul 315 orang dan jumlah para nabi 24,000 orang. Tidak ada tempat di dunia ini yang mana semua rasul dan nabi-nabi berkumpul di situ melainkan Kaabah dan Baitul Maqdis. Rasulullah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam telah mengimamkan solat para rasul dan nabi. Selepas selesai solat,  Jibril datang membawa kepada Baginda satu bekas susu dan satu bekas arak. Rasulullah telah memilih susu. Jibril berkata kepada Rasulullah , " Kamu terpimpin kerana memilih susu. Begitu juga umatmu". Ini menunjukkan arak itu perkara yang tidak baik. Kemudian, Rasulullah dimikrajkan iaitu diangkat ke langit. Apabila dibuka pintu langit pertama, Rasulullah melihat seorang lelaki yang senyum apabila memaling ke kanan dan menangis apabila dia memaling ke kiri. "Siapa ini?" Rasulullah bertanya kepada Jibril. Jibril menjawab, " Itulah Adam. Apabila dia melihat ke kanan dia melihat umatnya yang masuk syurga, maka tersenyum dia. Apabila dia memandang ke kiri, dia melihat umatnya yang masuk neraka, maka menangislah dia." Kemudian, Rasulullah  SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam melihat ada orang yang berenang dalam lautan darah. Apabila mereka sampai ke tepi, mereka membuka mulut , lalu para malaikat melontar api-api neraka ke dalam mulut mereka.  Rasulullah bertanya kepada Jibril, " Siapa mereka ini?" Jibril berkata," Mereka inilah orang-orang yang makan harta anak  yatim. Kemudian, Rasulullah melihat orang-orang lelaki yang perut mereka besar-besar. Mereka semua terlentang kemudian kaum Firaun lalu di situ sambil memijak perut orang-orang tadi. Kaum Firaun ini dibawa melihat neraka dua kali sehari supaya mereka dapat melihat tempat mereka nanti. Dalam perjalanan mereka pergi ke neraka itu, mereka memijak perut orang-orang lelaki yang sedang terlentang ini. Rasulullah  bertanya," Siapa mereka itu?" Jibril berkata," Mereka adalah orang yang makan riba. Kemudian, Rasulullah  melalui sekumpulan lelaki yang mempunyai dua jenis makanan. Satu yang lazat dan bersih. Satu lagi yang buruk dan busuk. Tetapi mereka makan makanan yang buruk dan busuk itu. Rasulullah bertanya, siapakah mereka wahai Jibril?". Jibril berkata, mereka inilah orang-orang yang berzina. Kemudian, di langit yang kedua, Rasulullah SAW bertemu dengan nabi Isa dan nabi Yahya.Di langit yang ketiga Rasulullah bertemu dengan nabi Yusuf dan di langit yang kelima pula Rasulullah bertemu dengan nabi Harun dan seterusnya bertemu dengan nabi Musa di langit yang keenam. Kemudian di langit yang ketujuh, Rasulullah melihat Baitul Makmur( kaabah bagi penduduk langit dan tempat para malaikat tawaf serta beribadah). Kedudukan Baitul Makmur bertepatan dengan kedudukan Kaabah di bumi. Di situ, Rasulullah melihat ada seorang lelaki yang wajahnya menyerupai Baginda sedang bersandar ke Baitul Makmur. Rasulullah bertanya kepada Jibril siapakah lelaki ini? Jibril berkata, " Itulah bapa kamu nabi Ibrahim a.s Seterusnya Rasulullah sampai ke suatu tempat yang tidak pernah seorang manusia sampai ke situ walaupun dia seorang rasul dan nabi. Kemudian, Rasulullah sampai di suatu kawasan yang tidak pernah sampai ke situ para malaikat kecuali Jibril. 


Kemudian Rasulullah sampai ke suatu tempat dan Jibril meminta Baginda ke depan. Jibril berkata, “ Kalau aku ke depan selangkah aku akan terbakar.” Akhirnya, beliau sampai di Sidratul Muntaha. Di tempat yang sangat luar biasa ini, dalam pertemuan yang sangat luar biasa, Allah memerintahkan solat kepada Rasulullah dan umat Baginda. Selepas pertemuan itu, Rasulullah turun dan bertemu dengan nabi Musa. Rasulullah telah ditanya oleh nabi Musa,” Apakah yang Allah perintahkan untuk umat kamu.” Rasulullah berkata,” Allah memerintahkan 50 fardhu solat sehari semalam.’

Nabi Musa berkata,” Bani Israel diperintahkan kurang daripada itu tetapi mereka tidak mampu laksanakan. Mintalah Allah ringankan lagi.” Rasulullah atas rasa belas kasihan dan kasih pada umatnya, baginda meminta Allah meringankan sehinggalah menjadi lima waktu sehari semalam.  Kemudian, Rasulullah turun ke Baitulmaqdis semula. Dari Baitulmaqdis, Baginda pulang semula ke Mekah. Pada keesokan pagi baginda menceritakan segala-galanya dan apa yang ternampak oleh mata kepalanya kepada umum. Cerita daripada Rasulullah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam menyebabkan orang musyrikin semuanya bergelak ketawa dan membawa berita yang pelik ini kepada yang lain sebagai bahan jenaka. Beberapa orang musyrikin juga telah berkejar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad yang dikatakan telah pergi ke Baitul Muqaddis dan naik ke langit dengan harapan Sayyidina Abu Bakar terperanjat kebingungan tetapi dengan tenang Sayyidina Abu Bakar menjawab, “ Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad tentang perkara-perkara lain yang lebih dari itu.
Pada subuh pagi hari Isra’ itu, Jibril telah datang dan mengajar Nabi Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu sembahyang dan waktu-waktunya.  Rasulullah sebelum diturunkan kefardhuan solat lima waktu, baginda solat dua raka’at pagi dan dua raka’at petang mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.

Social Icons

Featured Posts