Kehebatan Allah dalam mencipta buah pinggang

Buah pinggang – contoh teknologi membran terunggul ciptaan Allah

Jumaat, 26 November 2010 17:16

Oleh Abdul Ghani Nasir BANGI, 26 Nov, 2010

  Buah pinggang dicipta Allah dalam tubuh manusia adalah contoh teknologi membran terunggul dan gabungan ilmu bioteknologi dan nanoteknologi yang mungkin selamanya tidak dapat dicipta manusia, kata seorang saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Profesor Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata dua buah pinggang dalam badan manusia yang berukuran 11 sentimeter dan berat lebih kurang 160 gram setiap satu, adalah contoh proses membran yang saban hari membantu manusia memisahkan yang kotor daripada yang bersih. “Kegagalan buah pinggang menjalankan fungsinya itu akan menyebabkan terkumpulnya bahan buangan dan bendalir berlebihan serta membahayakan. “Dua buah pinggang kita berfungsi mengumpul air kencing dan membuangnya melalui saluran kencing, mengawal keseimbangan asid-bes dalam darah, mengawal tekanan darah dengan menghasilkan hormon yang mengawal pengeluaran sel darah dalam sum-sum tulang dan mempengaruhi jumlah kalsium dalam darah dan pengeluaran vitamin D yang membantu mengekalkan kestabilan tulang,” katanya pada permulaan Majlis Syarahan Perdana bertajuk “Membran Nanopenurasan – Daripada Fundamental ke Arah Inovasi” di Bilik Senat, UKM, semalam. Berdasarkan hakikat itu jelas teknologi membran diguna secara meluas dalam industri hari ini sebenarnya sudah wujud selama mana usia Nabi Adam a.s lagi itu. Prof Ir Dr Wahab menerangkan melihat kepada struktur buah pinggang yang kecil itu mengingatkan kita kepada betapa kerdilnya manusia daripada aspek ilmu pengetahuan. Unit utama dalam buah pinggang ialah nefron di mana melalui nefron inilah berlakunya penurasan darah yang membantu buah pinggang berfungsi. Beliau menarik perhatian bahawa kegagalan buah pinggang telah membantu manusia mencari proses penurasan alternatif yang boleh membantu mereka yang kurang bernasib baik yang mengalami kegagalan itu. “Maka terhasillah proses hemodialisis iaitu darah dikitarkan keluar dari badan melalui unit membran yang mengeluarkan bahan buangan dan bendalir berlebihan. “Darah yang telah dicuci akan dikembalikan ke dalam badan dan keseluruhan proses dikawal oleh mesin dialisis yang dilengkapkan dengan pam darah dan sistem pemonitoran untuk memastikan ia selamat. “Membran dalam bentuk gentian geronggang adalah nadi kepada sistem pengawalan buah pinggang ini. Ia menjadi pengganti kepada buah pinggang yang telah rosak untuk mengekalkan keseimbangan dalam darah dan membuang toksin daripada merosakkan tubuh manusia,” katanya. Prof Ir Dr Wahab menerangkan betapa membran ciptaan manusia mempunyai banyak kelemahannya. Antara kelemahan yang jauh masih ketara dibandingkan dengan buah pinggang adalah jangka hayat membran hanya untuk dua-tiga kali pemakaian dan perlu dibuang. Ini menjadikan kos dialisis agak mahal sehingga mencecah RM2,000-RM2,500 sebulan. Kecekapan membran dibandingkan dengan buah pinggang masih rendah di mana setiap pesakit menjalani dialisis memerlukan tiga-empat jam sehari dan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. ‘Ternyata banyak yang perlu dipelajari mengenai pelbagai fenomena alam yang ilmu mengenainya hanya sedikit diperolehi manusia sebagaimana firman Allah swt dalam surat Al-Isra ayat ke-85 iaitu ‘Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit’, katanya.
 
Sumber :  http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/534-the-human-kydneys-have-the-ultimate-membrane-technology.html

This entry was posted by Musleha binti Mokter. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Social Icons

Featured Posts