PESAN EMAK


Emak tidak pernah melalui persekolahan secara formal ketika zaman kecil, remaja mahupun dewasanya. Namun, butir-butir permata dari mulutnya cukup mengajarkan kami erti kehidupan. Emak pernah berpesan “ Masak nasi, sambil tu berselawat”’.Aku masih ingat dahulu, bagaimana emak mendidik aku untuk turun ke dapur dalam keadaan aku yang sangat suka bermain bersama kawan-kawan tidak mengira waktu pagi, petang ataupun malam. Pada waktu hampir tengahari, di kala keseronokan bermain bersama rakan-rakan, emak akan memanggil aku dari jauh,  “ Balik…,masak nasi”. Aku dengan rasa berat hati, meninggalkan sementara dunia permainan untuk pulang ke rumah sebentar hanya untuk masak nasi. Kelihatan seperti tiada apa-apa disitu. Tetapi kaedah emak itu nampaknya berjaya untuk mendekatkan aku kepada dunia dapur walaupun tidaklah pandai sangat bab masak memasak. Alam kanak-kanak kami juga diisi dengan memetik kopi di kebun. Masing-masing bersemangat untuk memenuhkan baldi atau tin masing-masing. Sekiranya baldi atau tin berbunyi, maksudnya kopi yang dipetik masih sedikit. Kalau dah banyak, tentunya tidak lagi berbunyi dan kerja memetik kopi dah hampir selesai. Namun, untuk sampai ke peringkat banyak bukanlah mudah, penat jugalah tangan. Emak sempat berpesan, “petik kopi inipun boleh dapat pahala. Cuba sambil kita petik kopi, kita berzikir”. Wah….hebatnya,bayangkan jika 500 biji yang berjaya dipetik. Allahuakbar.  Kini, memetik buah kopi hanya tinggal lipatan sejarah dalam kehidupan kami. Tiada lagi yang larat untuk mengusahakan kebun. Aku juga mengagumi bagaimana hebatnya emak dalam menangani ada di kalangan anaknya yang tidak mendapat  keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan termasuklah aku yang selalu sahaja dapat markah merah dan antara nombor tercorot.  Tiada dalam kamus pemikiran dan hati emak untuk membandingkan anaknya yang cemerlang di dalam peperiksaan dengan yang tidak berjaya. Emak tidak akan berkata “ tengok tu abang,kakak dan adik kamu, mereka tu pandai@ tengok tu anak orang sebelah dapat no.1 , cuba banding dengan kamu..”. Emak hanya menggunakan perbandingan pada perkara-perkara untuk membentuk sifat kerajinan seperti cubalah tengok anak orang sebelah tu, rajin menyapu, cubalah rajin macam dia” atau menggunakan kata-kata seumpama ini dalam keadaan sekiranya ada yang rasa berat (perkataan berat yang digunakan, bukan malas) sangat hendak basuh pinggan, emak akan mengenangkan kembali zaman sebelum adanya pili air di dapur, “Dahulu nak basuh semuanya kena pegi ke kolam depan tu, ni sekarang air dah depan matapun berat lagi nak basuh”…tersedar kami dibuatnya. Apabila ada di kalangan adikberadik menghubungi emak menyatakan tidak sempat pulang ke kampung, emak hanya berkata “ Ye takpa, masing-masing urusannya nak buat macammana, ye sesempatnya.  Apabila  ada yang mengadu tentang anak-anak atau  masalah kerja atau pembelajaran, emak hanya berkata “ ye sabar”. Emak sentiasa mengajar kami untuk berfikiran positif dan berbaik sangka. Walaupun kami semua sudah dewasa, emak terus menerus tanpa jemu  berpesan lagi. Pesan emak, dinding diri dengan membaca ayat qursi pagi dan petang. Ketika tidak solat, jangan biarkan diri kosong seharian. Bacalah zikir-zikir dan sebagainya. Itulah antara pesanan-pesanan emak. Untuk ibubapa,bersabarlah dalam mendidik anak-anak. Janganlah mengeluarkan kata-kata yang bersifat negatif terhadap anak-anak, sentiasa berdoa untuk anak-anak dan selain solat yang wajib, amalkanlah solat-solat sunat seperti solat duha. Bermaknanya  hidup ini jika kita menjaga hubungan dengan Allah, manusia dan alam. Ya Allah ya tuhan kami, ampunilah dosa kedua ibubapa kami, dosa kami, dosa keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa anak murid kami, dosa umat muslimin dan muslimat samada yang masih hidup ataupun yang terlebih dahulu telah meninggalkan kami. Berikanlah kami kekuatan untuk menuruti syariatMu. Amin...

 Insyaallah, akan datang,kita berkongsi pula pesan bapak.

Armada Laut Umawiyyah

Buku karangan Sahrul Azmi Sidek ini saya beli untuk mendalami subjek yang diajar iaitu Tamadun Islam.Sub topik bagi subjek ini antaranya zaman pemerintahan Khalifah Uthman. Antara perkembangan yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Uthman ialah penubuhan tentera laut.  Secara asasnya, ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab, pembukaan Islam sampai ke bumi Syam iaitu antara jajahan Byzantine. Dengan pembukaan Syam bererti kuasa Islam sudah tidak begitu jauh dengan ibu kota Byzantine di Costantinople. Pihak musuh islam mampu memberi ancaman pada bila-bila masa, khasnya melalui laut kerana mereka menyedari kekuatan tentera darat Islam. Pada waktu inilah, Muawiyah bin Abu Sufyan selaku gabenor Syam menyedari bahaya situasi ini. Beliau meminta izin kepada khalifah Umar untuk menyiapkan armada laut bagi memerangi Byzantine di Laut Mediterranean. Muawiyah menyedari bahawa ancaman utama Byzantine adalah melalui jalan laut. Namun begitu, selepas mengambil kira pendapat gabenor Mesir iaitu Amru bin al'As, akhirnya Khalifah Umar menolak permintaan Mu'awiyah dengan beberapa faktor.
i. Bimbang keselamatan nyawa tentera Islam kerana mereka tidak pernah berperang di kawasan laut.
ii. Kapal laut Islam yang masih terlalu baharu.
iii. Byzantine terkenal dengan kekuatan ilmu lautan.





RAHSIA ISRA' DAN MI'RAJ

1. Isra’ Mi’raj adalah kurniaan Allah kepada Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wa Sallam demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi Rasulullah bukanlah suatu angkara murka daripada Allah dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta dan demikian juga sunnah dan dasar da’wah islamiyyah di setiap waktu ketika itu.

2. Perjalanan Isra’ Rasulullah ke Baitul Muqaddis dan Mi’raj kelapisan langit ketujuh merupakan satu peristiwa yang besar ertinya. Di antaranya menandakan bahawa Baitul Muqaddis bukanlah satu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah dan menunjukkan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat di antara kebangkitan ‘Isa bin Maryam ‘alaihissalam dengan risalah Rasulullah.

3. Susu ialah yang menjadi pilihan Rasulullah ketika Jibril membawa kepada baginda satu piala yang berisi susu dan yang satu lagi berisi arak sebagai simbolik kepada Islam adalah agama fitrah, sesuai dan seiring dengan kehendak semulajadi manusia yang suka kepada kebaikan.

4. Semua undang-undang Islam, Allah perintahkan melalui Jibril, tetapi perintah solat diterima sendiri oleh Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wa Sallam terus daripada Allah. Ini menunjukkan betapa besarnya solat di sisi Allah. Solat menjadi tiang agama.

Mu'jizat Isra' dan Mi'raj

Pada suatu malam , Jibril datang kepada nabi Muhammad  SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam yang sedang tidur di Kaabah. Jibril membawa Nabi Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam   menaiki Buraq iaitu kenderaan dari syurga dari  Masjidil al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Di Masjidil al-Aqsa, sedang berlaku perhimpunan yang sangat luar biasa. Allah menghidupkan para rasul dan para nabi untuk bertemu dengan nabi Muhammad di Masjid al-Aqsa. Ulama menyebut jumlah para rasul 315 orang dan jumlah para nabi 24,000 orang. Tidak ada tempat di dunia ini yang mana semua rasul dan nabi-nabi berkumpul di situ melainkan Kaabah dan Baitul Maqdis. Rasulullah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam telah mengimamkan solat para rasul dan nabi. Selepas selesai solat,  Jibril datang membawa kepada Baginda satu bekas susu dan satu bekas arak. Rasulullah telah memilih susu. Jibril berkata kepada Rasulullah , " Kamu terpimpin kerana memilih susu. Begitu juga umatmu". Ini menunjukkan arak itu perkara yang tidak baik. Kemudian, Rasulullah dimikrajkan iaitu diangkat ke langit. Apabila dibuka pintu langit pertama, Rasulullah melihat seorang lelaki yang senyum apabila memaling ke kanan dan menangis apabila dia memaling ke kiri. "Siapa ini?" Rasulullah bertanya kepada Jibril. Jibril menjawab, " Itulah Adam. Apabila dia melihat ke kanan dia melihat umatnya yang masuk syurga, maka tersenyum dia. Apabila dia memandang ke kiri, dia melihat umatnya yang masuk neraka, maka menangislah dia." Kemudian, Rasulullah  SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam melihat ada orang yang berenang dalam lautan darah. Apabila mereka sampai ke tepi, mereka membuka mulut , lalu para malaikat melontar api-api neraka ke dalam mulut mereka.  Rasulullah bertanya kepada Jibril, " Siapa mereka ini?" Jibril berkata," Mereka inilah orang-orang yang makan harta anak  yatim. Kemudian, Rasulullah melihat orang-orang lelaki yang perut mereka besar-besar. Mereka semua terlentang kemudian kaum Firaun lalu di situ sambil memijak perut orang-orang tadi. Kaum Firaun ini dibawa melihat neraka dua kali sehari supaya mereka dapat melihat tempat mereka nanti. Dalam perjalanan mereka pergi ke neraka itu, mereka memijak perut orang-orang lelaki yang sedang terlentang ini. Rasulullah  bertanya," Siapa mereka itu?" Jibril berkata," Mereka adalah orang yang makan riba. Kemudian, Rasulullah  melalui sekumpulan lelaki yang mempunyai dua jenis makanan. Satu yang lazat dan bersih. Satu lagi yang buruk dan busuk. Tetapi mereka makan makanan yang buruk dan busuk itu. Rasulullah bertanya, siapakah mereka wahai Jibril?". Jibril berkata, mereka inilah orang-orang yang berzina. Kemudian, di langit yang kedua, Rasulullah SAW bertemu dengan nabi Isa dan nabi Yahya.Di langit yang ketiga Rasulullah bertemu dengan nabi Yusuf dan di langit yang kelima pula Rasulullah bertemu dengan nabi Harun dan seterusnya bertemu dengan nabi Musa di langit yang keenam. Kemudian di langit yang ketujuh, Rasulullah melihat Baitul Makmur( kaabah bagi penduduk langit dan tempat para malaikat tawaf serta beribadah). Kedudukan Baitul Makmur bertepatan dengan kedudukan Kaabah di bumi. Di situ, Rasulullah melihat ada seorang lelaki yang wajahnya menyerupai Baginda sedang bersandar ke Baitul Makmur. Rasulullah bertanya kepada Jibril siapakah lelaki ini? Jibril berkata, " Itulah bapa kamu nabi Ibrahim a.s Seterusnya Rasulullah sampai ke suatu tempat yang tidak pernah seorang manusia sampai ke situ walaupun dia seorang rasul dan nabi. Kemudian, Rasulullah sampai di suatu kawasan yang tidak pernah sampai ke situ para malaikat kecuali Jibril. 


Kemudian Rasulullah sampai ke suatu tempat dan Jibril meminta Baginda ke depan. Jibril berkata, “ Kalau aku ke depan selangkah aku akan terbakar.” Akhirnya, beliau sampai di Sidratul Muntaha. Di tempat yang sangat luar biasa ini, dalam pertemuan yang sangat luar biasa, Allah memerintahkan solat kepada Rasulullah dan umat Baginda. Selepas pertemuan itu, Rasulullah turun dan bertemu dengan nabi Musa. Rasulullah telah ditanya oleh nabi Musa,” Apakah yang Allah perintahkan untuk umat kamu.” Rasulullah berkata,” Allah memerintahkan 50 fardhu solat sehari semalam.’

Nabi Musa berkata,” Bani Israel diperintahkan kurang daripada itu tetapi mereka tidak mampu laksanakan. Mintalah Allah ringankan lagi.” Rasulullah atas rasa belas kasihan dan kasih pada umatnya, baginda meminta Allah meringankan sehinggalah menjadi lima waktu sehari semalam.  Kemudian, Rasulullah turun ke Baitulmaqdis semula. Dari Baitulmaqdis, Baginda pulang semula ke Mekah. Pada keesokan pagi baginda menceritakan segala-galanya dan apa yang ternampak oleh mata kepalanya kepada umum. Cerita daripada Rasulullah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam menyebabkan orang musyrikin semuanya bergelak ketawa dan membawa berita yang pelik ini kepada yang lain sebagai bahan jenaka. Beberapa orang musyrikin juga telah berkejar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad yang dikatakan telah pergi ke Baitul Muqaddis dan naik ke langit dengan harapan Sayyidina Abu Bakar terperanjat kebingungan tetapi dengan tenang Sayyidina Abu Bakar menjawab, “ Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad tentang perkara-perkara lain yang lebih dari itu.
Pada subuh pagi hari Isra’ itu, Jibril telah datang dan mengajar Nabi Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu sembahyang dan waktu-waktunya.  Rasulullah sebelum diturunkan kefardhuan solat lima waktu, baginda solat dua raka’at pagi dan dua raka’at petang mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.

Konsep Mencari dan Membelanjakan Harta Menurut Islam


Pengertian Harta

Istilah harta atau al-mal dalam al-Quran mahupun sunnah tidak dibatasi dalam raung lingkup makna tertentu, sehinggakan pengertian al-mal sangat luas dan selalu berkembang.
Kriteria harta menurut para ahli fiqh meliputi adanya nilai ekonomi dan unsur manfaat yang diperoleh dari suatu barang. 

Pandangan Islam mengenai harta

Prinsip Harta

1. Pemilik mutlak terhadap segala sesuatu yang ada dimuka bumi ini adalah Allah.
2. Status harta
  • Harta sebagai amanah dari Allah
  •  Harta sebagai perhiasan hidup untuk manusia menikmatinya dan tidak boleh berlebih-lebihan (membazir). (surah ali Imran :ayat 14)
  • Harta sebagai ujian keimanan-cara mendapatkan dan memanfaatkannya. (surah al-Anfal:ayat 28)
  •  Harta sebagai bekal ibadah-muamalah sesama manusia melalui zakat,infak dan sedekah(surah attaubah:ayat 41 dan 46)
3. Pemilikan harta dapat dilakukan melalui usaha atau pekerjaan yang halal
(surah al-baqarah:ayat 267)
4. Larangan mencari harta sehingga melupakan perintahNya
5.Larangan terlibat dalam aktiviti atau kegiatan yang haram seperti riba,perjudian, rasuah dan jualbeli barang yang haram.

Pemilikan harta
1. Hak milik khusus: Pemilikan harta secara individu dibenarkan di dalam Islam.
  • Harta termasuk lima perkara yang wajib dipelihara
  •  Islam tidak membenarkan pencerobohan terhadap pemilikan harta seperti mencuri dan merampas.
  • Diperoleh melalui perwarisan, wasiat, jualbeli, pemberian (derma/hadiah),bekerja, bercucuk tanam dan mengerjakan tanah terbiar.
2. Hak milik awam : Harta yang dikhususkan untuk kepentingan awam seperti jalanraya, sungai dan tempat rekreasi.

Semua umat Islam berkongsi dalam tiga perkara iaitu air,rumput dan api”. (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Kaedah Memperoleh Harta :-

a. Mengusai harta yang belum dimiliki oleh orang lain.
b. Perjanjian hak-hak milik seperti jualbeli, hibah dan wasiat
c. Warisnan sesuai dengan aturan Islam
d. Syuf’ah (pemberian dari pemerintah)
e. Hak—hak keagamaan : contoh agihan zakat

Konsep perbelanjaan harta

Keutamaan dalam perbelanjaan

1. Barang keperluan hidup:tanpanya seseorang akan mati.
Contoh makanan bagi orang yang dilanda kebuluran dan rumah bagi orang yang sedang kedinginan
2. Barang keperluan asas : tanpanya seseorang akan hidup susah
3. Barang keperluan kecekapan
4. Barang keselesaaan
5. Barang mewah
6. Larangan membelanjakan harta untuk barang merbahaya atau merosakkan.

Disitu kami melakar kejayaan

Sajak ini yang telah aku ubahsuai dari penulis asal sebagai wasiat untuk anak-anak muridku sebelum meninggalkan SMKUSJ23 kalau tidak silap saya pada 10.2.2010. Walaupun tidak lama mengajar di sekolah ini (Julai 2009-Feb 2010) sahaja,namun,banyak juga pengalaman berharga yang dapat dikutip sepanjang berada di sekolah ini.



Di SMK USJ 23 ini,
Bersamalah kalian mengatur langkah
Mencari ilmu untuk bekalan ke sana
Menambah pengalaman sebelum lewat usia
Di SMK USJ 23 ini,
Mereka, guru-guru yang kalian sayangi
Tidak jemu-jemu dalam menabur bakti kepada kalian
agar kalian tidak sesal dikemudian hari
Dari itu ,
Janganlah mensia-siakan harapan ayah bonda
Tidak juga membuat guru-guru berputih mata
Kerana kalianlah harapan mereka
Tangan-tangan yang bakal mewarisi Negara
Ayuh!
Bangunlah para pelajarku sekalian
Buktikan pada mereka
Kalian insan-insan berguna dan mengenang jasa
Bakal intelektual dan tokoh agama
Yang akan membela agama, bangsa, dan negara.



Peperiksaan.....Exam....Imtihan !!!

Alhamdulilah segala puji bagi Allah yang masih lagi memberi pinjaman nafas kepada kita.Bagi para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan, rasa kebimbangan semakin bertambah. Time nak dekat exam inilah, ramai pelajar mula meningkatkan pecutan ke tahap yang maksimum. Malah, tidak kurang juga di kalangan para pelajar yang stress nak menghadapi peperiksaan. Tekanan memang tidak boleh dielakkan didalam kehidupan. Terpulang kepada kalian untuk menghindari dan menghadapinya.
Sebagai seorang pelajar muslim,kepercayaan yang kukuh terhadap ketetapan Allah selepas berusaha, berdoa dan bertawakkal merupakan jalan terbaik untuk menghadapi stress.
Berfikirlah secara positif bahawa Allah akan menolong apabila persiapan yang rapi telah dilakukan. Namun, sekiranya persediaan yang rapi telah dilakukan tetapi kita masih lagi tidak mampu untuk mendapat keputusan yang baik, redha dengan apa yang berlaku kerana mungkin ada kesilapan yang tidak disedari.
Persediaan awal merupakan senjata yang paling ampuh untuk menghadapi peperiksaan dan tekanan. Kelalaian yang berlaku boleh menjadi batu penghalang kepada kejayaan di dalam peperiksaan. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Yakinlah dengan diri sendiri bahawa kalian boleh berjaya di dalam peperiksaan. Semoga kejayaan yang diimpikan berada di tangan kita. InsyaAllah.

Motivasi Pelajar 1

Teruskan usaha anda,don’t give up,setiap kegagalan akan berubah menjadi satu kejayaan jika kita bangkit dari kegagalan dan terus berusaha untuk meningkatkan diri. Anda telah mendapat kejayaan yang pertama apabila melaksanakan solat 5 waktu,maka kejayaan didalam pelajaran menjadikan hidup kita lebih bermakna. Apapun ilmu yang kita pelajari,samada sains, metematik, geografi, pendidikan Islam dan lain-lain, the mother of knowledge is Islam.
Semoga mendapat kejayaan dan kecemerlangan di dalam pelajaran, dan jua kejayaan hidup didunia dan akhirat.Amin… “WHATEVER LIFE SHALL BRING YOUR WAY,GIVE YOUR LEVEL THE BEST EVERYDAY.”

Solat Jama' dan Qasar

Ustaz Zaharuddin bin Abdul Rahman(www.zaharuddin.net)


Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.

Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.

Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.

- Hayati, Sg Besi.

Jawapan

wa’alaikumussalam

Saudari sepatutnya menjama’kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.

Berikut pula syarat untuk men”qasar”kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-

i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.

ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.

iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat. iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).

v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.

vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bermusafir dari awal hingga akhirnya.

vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalam tempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.

Solat jama’ pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama’ solat :-

i. Jama’ tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama’ kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)

ii. Solat jama’ boleh dilakukan dalam dua bentuk :-
Pertama : Jamak Taqdim

Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib. Ia berdasarkan hadith shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syaratnya :

1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tetapi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.
Kedua : Jamak Takhir

Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).

Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)

Syarat-syaratnya :

1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)

2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.

Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-

a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.

b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan mengatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.

c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng”qasar”kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL

Adapun kenyataan saudari “tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian” adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.

Wanita seumpama pohon semalu

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.


Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

5 syarat untuk melakukan maksiat

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “ Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh saja kamu melakukan maksiat. “ Lelaki itu dengan penuh perasaan bertanya. “ Apa saja syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”Ibrahim bin Adham berkata,”Syarat pertama, jika kamu melakukan maksiat kepada Allah, jangan memakan rezdekinya. “ Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “ Lalu aku mahu makan dari mana? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?” Ya, tegas Ibrahim bin Adham. “ Kalau kamu sudah memahaminya, masih boleh makan rezekiNya, mengapa masih berkeinginan melanggar laranganNya?”
Syarat yang kedua kata Ibrahim “ kalau hendak melakukan maksiat, jangan tinggal di bumiNya! . Syarat ini membuat lelaki itu terkesima setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sementara kamu melanggar segala laranganNya?” Ya, anda benar, “ kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “ Kalau kamu masih mahu melakukan maksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya. Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “ Wahai Ibrahim, ini nasihat bagaimana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita? “ Nah, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim menambah, “ kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya,”tangguhkanlah kematianku dulu. Aku mahu bertaubat dan melakukan amal soleh’. “ Kembali lelaki itu menggelengkan kepala dan segera sedar, “ Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permohonanku? “ Wahai Abdullah, kalau kamu sudah menyakini bahawa kamu tidak mampu menunda dan menangguhkan kedatangan matimu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari murka Allah?”.
Baiklah, apa syarat yang kelima?” Ibrahim pun menjawab, “ Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya. “ Perkataan tersebut membuat lelaki itu tersedar. Dia berkata, “ wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknnya. “ Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “ Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah, “ katanya sambil terisak.

permasalahan mazi dan mani

Air mazi adalah sejenis cecair jernih melekit dan berbau kuat yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita setiap kali ada rangsangan syahwat. Ia berbeza dengan air mani yang keluar hanya di kemuncak syahwat semasa persetubuhan atau ia juga boleh keluar di kemuncak syahwat apabila seseorang melakukan kesalahan mastubarsi (onani).

Air mani juga adalah sejenis cecair pekat, yang biasanya keluar dengan rasa kenikmatan. Berbeza dengan air mazi yang keluar tanpa sedar, hasil peningkatan syahwat. Air mazi adalah najis dan perlu dibasuh untuk menunaikan solat. Air mani, pula berbeza kerana jika keluar, seseorang itu perlu mandi hadas untuk kembali menyucikan diri.

Kembali kepada kes yang bertanya, jika benar ia air mazi disebabkan syahwat dari aktiviti tidak elok, tidak syak lagi ia adalah satu dosa dan apabila ia berlaku dalam bulan mulia ini, sudah tentulah kesannya amat besar. Allah s.w.t menyebut dalam hadis Qudsi :-

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ من أَجْلِي الصِّيَامُ لي وأنا أَجْزِي
Ertinya : "Dia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya hanya kerana Ku ( Allah ), sesungguhnya puasanya adalah untuk Ku dan Aku lah yang akan membalasnya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )

Amat jelas lagi terang Allah s.w.t inginkan dari puasa kita penahanan dari 3 aspek fizikal iaitu tahan makan minum dan keinginan syahwat iaitu seksual.

Dalam hal di atas, jika rangsangan benar kerana syahwat, ia menunjukkan sdri telah melalkukan suatu dosa sehingga tidak dapat menjaga syahwat dengan baik sehingga keluarnya mazi semasa berpuasa. Kaffarah yang berat bagi mereka yang bersetubuh di siang hari Ramadhan sudah cukup membuktikan kemurkaan Allah s.w.t bagi mereka yang melanggar displin syahwat tatkala berpuasa.

Jika syahwat antara suami isteri pun perlu dikawal, apatah lagi dengan lelaki atau wanita luar yang bukan mahram.

Jika benar, ia adalah mazi yang ekluar dengan syahwat, saya nasihatkan sdri agar segera berhenti dan menjauhkan diri dari semua perbincangan dan perbuatan yang boleh menaikkan syahwat kerana ia kelak boleh menjatuhkan seseorang dalam kumpulan hina iaitu penzina yang tidak bertawbat.

Semoga diampuni Allah s.w.t di bulan pengampunan ini.

BEZA MAZI DENGAN KEPUTIHAN

Jika cecair yang keluar itu tidak keluar disebabkan syahwat, maka ia mungkin pula adalah cecair keputihan yang kerap berlaku kepada beberapa kumpulan wanita. Cecair jenis ini adalah najis dan perlu dibasuh sebelum solat, namun ia tidak membatalkan puasa. Tiada dosa juga atas keluarnya cecair tersebut.Tetapicecair jenis ini TIDAK keluar kerana syahwat teransang. Ia keluar pada waktu-waktu biasa.

Cecair 'keputihan' ini biasanya keluar dengan sedikit kekuningan atau mempunyai bau yang busuk, berbeza dengan air mazi yang tidak berbau. Justeru, saudari perlu tentukan ceceair apakah yang dimaksudkan. Jalan mudah adalah dengan bertanya kepada ibu saudari. Harapnya sang ibu mempunya kejelasan fikiran tentang perbezaaannya.

(http://www.zaharuddin.net/content/view/605/63/)

Para imam fuqaha' telah bersepakat seandainya seorang lelaki atau wanita keluar air mani maka mereka diwajibkan mandi wajib untuk menghilangkan hadas besar tersebut.(1)

Mereka berkata: Sesungguhnya air mani bagi lelaki adalah air yang likat yang keluar ketika seseorang itu naik syahwatnya dan ianya keluar dalam keadaan terpancut. Manakala bagi perempuan pula air tersebut cair dan berwarna kekuning-kuningan. Air tersebut keluar sama ada ketika kedua-duanya (lelaki dan perempuan menjalankan hubungan persetubuhan ataupun bermimpi.

Telah diriwayatkan oleh Imam Muslim didam kitab Sohihnya:

Maksudnya: Sesungguhnya Ummu Sulaim telah berkata, dia telah bertanya Nabi Muhammad s.a.w tentang (hukum) seseorang wanita yang melihat didalam mimpinya sepertimana yang dilihat oleh seorang lelaki? Maka Nabi menjawab: "Sekiranya seseorang perempuan melihat perkara itu maka mandilah (mandi wajib). Maka Ummu Sulaim berkata: " Aku malu tentang perkara ini": "Adakah terjadi seperti itu? Maka Nabi bersabda: "maka darimana berlakunya kesamaan?". Dalam satu lafaz Ummu Sulaim berkata: "Adakah (wajib) keatas perempuan mandi sekiranya dia berihtilam (keluar air mani) ? Maka nabi bersabda: " Ya, seandainya dia melihat air (mani)"(2)


Wajib kepada lelaki dan perempuan mandi (wajib) sekiranya air mani keluar dalam keadaan naik syahwatnya sama ada ketika waktu dia sedar ataupun waktu dia tidur. Telah berkata Imam Tirmizi: "Kami tidak (pernah) mengetaui ada khilaf dalam perkara ini.


MAZHAB SYAFIE

Hukum mandi tersebut wajib, melainkan Imam Syafie tidak mensyaratkan keluarnya air mani tersebut dalam keadaan terpancut dan dalam keadaan syahwat sebagai syarat wajibnya mandi.(3) Iaitu tidak kira sama ada lelaki ataupun permpuan, baligh atau pun hampir umur baligh, merasa kepuasan setelah keluar air mani atau tidak, berakal atau gila, kesemuanya diwajibkan mandi seandainya keluar air mani.

MAZHAB HANAFI, MALIKI & HAMBALI

Manakala didalam mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali pula, tidak wajib mandi melainkan air mani itu keluar dalam keadaan syahwat dan terpancut (4). Dan dalil bagi pendapat mereka ialah daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud: "Sesungguhnya nabi menyifatkan air mani yang mewajibkan mandi adalah sekiranya air mani tersebut dalam keadaan yang putih dan likat", dan sesungguhnya nabi telah bersabda kepada Saidina Ali r.a : "Sekiranya terpancut keluar aur maka mandilah".

Oleh yang demikian, sekiranya bermimpi seseorang perempuan itu, dan keluar air mani, perempuan tersebut wajib mandi, dan haram bagi perempuan tersebut melakukan ibadah solat, membaca al-quran, menyentuh mashaf Al-Quran, sujud tilawah, sujud syukur dan ibadah-ibadah yang lain, melainkan selepas permpuan tersebut mandi wajib.

Sumber dari : http://as-syazuli.blogspot.com

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.Inilah ikatan perjanjian dan ikrar antara seorang hamba dengan penciptaNya iaitu Allah yang sentiasa dilafazkan setiap kali melaksanakan solat. Tetapi sejauhmana ianya mampu diterjemahkan dalam urusan kehidupan seharian kita. Cabaran dan dugaan yang menimpa kadangkala menyebabkan tanpa sedar keimanan kita menjadi goyah. Kata-kata “ kenapa aku sahaja yang asyik ditimpa pelbagai masalah, kenapa aku sahaja yang mendapat kesusahan, kenapa aku sahaja yang gagal, dan pelbagai lagi persoalan-persoalan mengapa,kenapa, kalau dan lain-lain. "Aarghh………rumitnya kehidupan ini," mengeluh lagi diri kita. Mungkin kita merasakan diri kitalah yang paling berat menerima ujian Allah. Bila ada yang sudi memberi nasihat, kita dengan slumbernye memberi respon,
“ ko bolehlah cakap, bukan ko yang kene”….ada yang sudi memberi nasihat bukannye hendak ucapkan terima kasih, isy…isy…. Ingatlah saudara seislam ku sekalian. Apabila kita mengimani dengan penuh keyakinan sifat-sifat Asmaulhusna Allah, membuatkan diri kita mampu tersenyum dan tenang dikala menghadapi setiap ujianNya. Firman Allah yang bermaksud : Demi sesungguhnya , Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut ( kpd musuh ) dan (Dgn merasai ) kelaparan, (Dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda & jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kpd org yang sabar : (Iaitu) orang yg apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (surah Al-Baqarah :ayat 155-156). Ayat ini menyatakan terdapat 5 bentuk ujian Allah kepada HambaNya iaitu perasaan takut dan gerun kepada pihak musuh ,kelaparan atau kebuluran (kerana kurang bahan makanan), kekurangan harta (disebabkab kerugian dlm perniagaan dll) kematian atau kehilangan orang yg disayangi dan kekurangan hasil tanaman (kerana kemarau, bencana alam dll). Marilah kita sentiasa mendidik hati kita untuk sentiasa bersangka baik(husnus zhon) dengan setiap ujian yang diberikan Allah kepada kita .
“Alah…apelah sangat ujian yang menimpa diri ku ini, nak dibandingkan ujian yang ditimpakan kepada Nabi Muhammad S.A.W, membesar tanpa ibu dan ayah,hendak sebarkan Islam dibaling dengan batu dan najis. Makanpun ala kadar dan lebih banyak mengikat perut dengan batu untuk menahan kelaparan sedangkan Baginda merupakan kekasih Allah.” Ape maknanya?. Maknanya disini, apabila kita di uji, itu tandanya Allah sayang pada kita. Hakikatnya ujian Allah bukan hanya dalam bentuk kesusahan, kesakitan, kesedihan dan kegagalan. Kekayaan, kejayaan dan kesihatan juga adalah ujian daripada Allah. Begitu juga sekiranya seorang pelajar atau seorang anak diminta untuk menyelesaikan pelbagai kerja atau dimarah kerana kesalahannya oleh guru atau ibubapanya, adakah ini bermakna mereka tidak disayangi???. Pastinya semua itu untuk memastikan seorang pelajar atau anak itu menjadi seorang insan yang berguna untuk agama,bangsa dan negara pada masa akan datang. Begitu juga ujian dan dugaan yang banyak ditimpakan kepada Rasulullah,ia hanyalah sebagai persediaan untuk baginda menjadi seorang pemimpin yang agung.
Tersentuh hati saya apabila membaca sebuah buku yang bertajuk Siti Fatimah watak remaja masa kini. Beliau merupakan pelajar terbaik SPM tahun 2006 dengan memperolehi 18A. Apa kata-kata beliau yang telah membuatkan hati saya tersentuh. Beliau berkata apabila saya merasa tertekan dan tidak tenang,saya akan melakukan solat sunat dan bersabar”. Hebatnya jiwa anak muda ini. Kita pula apabila tertekan, apa yang kita laksanakan untuk mengatasi tekanan. Tepuk dada, Tanya iman. Wallahua’lam.

Bait-bait kalam bisa dilakar, CiptaanNya mengakari Ilham

Saya cuba untuk kembali mengaktifkan diri melalui saluran blog. Setahun yang lalu, saya pernah membina blog, namun disebabkan kekangan masa dan minat yang kurang mendalam,maka blog telah lenyap dari bebanan minda saya. Bidang pendidikan yang saya ceburi sekarang ini, menggerakakkan saya untuk kembali berjinak-jinak dalam dunia blog ni.Semoga terus diberikan kekuatan untuk mengisi blog yang baru sahaja dibina sebentar tadi.Wallahua'lam.

Social Icons

Featured Posts