Jam Air Gajah ciptaan Al-Jazari

Detik jam simbol kepelbagaian, menggunakan sistem automasi dan menekankan kejituan……..

Masa akan terus berjalan samada bersama atau tanpa kehadiran kita.  Masa yang berlalu sudah menjadi sejarah dan kita hanya merancang untuk masa yang akan datang.  Penentuan detik jam menjadi perkara utama dalam Islam apabila waktu solat, laungan azan, puasa pada bulan Ramadhan dan merayakan Eidul Fitri mesti dilaksanakan dengan penuh kejituan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Surah al-‘Ashr:1-3)

Di atas peringatan inilah, al-Jazari seorang  jurutera yang soleh dan berasal dari timur-selatan Turki telah mencipta jam yang menggunakan teknologi automatik dan berkonsepkan kepelbagaian.  Al-Jazari telah mengguna prinsip air Archimedes yang berasal dari Greek digabungkan dengan peralatan masa air dari India, gajah dari India, burung phoenix dari Arab, permaidani Parsi dan naga dari China serta patung-patung orang Arab.
Rajah 1 Jam Gajah

(Sumber: 1001 Inventions- Muslim Heritage in Our World, ms 16)
Masa ditentukan oleh mangkuk air (prinsip Archimedes / ghati India) yang berada dalam perut gajah tersebut. Mangkuk yang berlubang terapung dalam tangki air yang terdapat dalam perut gajah tersebut. Air akan memenuhi mangkuk ini, kemudiannya mangkuk ini akan tenggelam secara perlahan serta mangkuk ini akan senget sebelah dan menarik tiga tali yang disambung kepada mangkuk ini.  Tempoh yang diambil untuk mangkuk ini tenggelam bergantung kepada saiz lubang tersebut.  Apabila tali ditarik, bola yang terdapat dalam istana (rujuk Rajah 1), akan keluar dan masuk ke dalam mulut naga.  Dan naga ini akan membengkokkan badannya untuk memasukkan bola ke dalam tembikar. Ia akan menyebabkan mangkuk dalam tangki air akan terapung semula dan proses ini akan berulang untuk setiap setengah jam.  Burung phoenix akan mengeluarkan bunyi dan berputar setiap kali mangkuk tenggelam.  Muka jam di atas kepala Saladin akan memberitahu waktunya.   Jam ini akan di set semula dua kali sehari iaitu ketika matahari naik dan terbenam.  Sila ke http://www.youtube.com/watch?v=doYPp-gaJ0o untuk memahami dengan lebih mudah cara kerja jam ini.

Jam gajah yang berada di Ibn Battuta Mall, Dubai telah dibina semula seperti yang ditunjukkan dalam rajah berikut:
Rajah 2 Jam gajah yang dibina semula
(Sumber: 1001 Inventions- Muslim Heritage in Our World, ms 17)
Al-Jazari seorang jurutera yang telah hidup lebih kurang lapan ratus tahun dahulu telah mencipta produk yang menggabungkan agama, sains, budaya dan seni.  Sistem automatik  terdapat dalam jam ini dan kejituan kerja al-Jazari adalah saiz lubang pada mangkuk yang diukur dan mengambil masa selama setengah jam untuk dipenuhi air, tenggelam dan proses ini berulang kembali.


Social Icons

Featured Posts