Dalam kepesatan masyarakat menuju
ke arah negara maju, masih wujud kekeliruan antara tuntutan agama dan adat yang
menjadi pegangan kuat orang Melayu. Bahkan, ada pepatah mengatakan “biar mati
anak, jangan mati adat”. Ini menggambarkan betapa dalam sesuatu situasi adat
mendahului kepentingan lain dalam hidup. Dalam masyarakat Melayu adat masih
diamalkan terutama dalam majlis perkahwinan.
Perkahwinan merupakan perkara
yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Perkahwinan dianggap sebagai
tali penyambung dalam menghubungkan dua manusia secara halal sehingga mendapat
zuriat. Sistem perkahwinan orang Melayu secara dasarnya banyak menurut
adat-adat masyarakat dahulu yang berkaitan dengan adat-adat orang Hindu. Namun
dengan kedatangan Islam, banyak perubahan yang berlaku selaras dengan perubahan
taraf kehidupan dan perubahan fikiran orang Melayu amnya. Walau bagaimanapun,
akibat daripada amalan yang sudah lama dituruti dan telah bersemadi dalam
kehidupan orang Melayu, terdapat adat yang masih kekal dan diikuti tetapi sudah
ada perubahan, ditambah atau diringkaskan untuk selari dengan ajaran islam.
Agama Islam adalah sebuah agama
yang bersifat syumulliyah dan universal. Maka, agama Islam sememangnya
merupakan agama yang bercorak konvensional iaitu yang boleh diterima umum. Kita
perlu faham bahawa Islam bukanlah agama yang diwahyukan untuk bangsa Arab
sahaja bahkan Islam adalah agama yang relevan untuk semua bangsa di dunia ini.
Oleh itu, Islam bukanlah dilihat sebagai agama yang menghapuskan kebudayaan
sesuatu bangsa jika bangsa tersebut memilih Islam sebagai agamanya. Hal ini
kerana, antara faktor yang menyebabkan agama Islam berkembang kepada setiap
bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam
sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip
Islam. Begitulah juga halnya dalam soal upacara perkahwinan. Masyarakat Melayu
sememangnya bebas untuk mengadakan upacara perkahwinan berdasarkan budaya dan
adat mereka berdasarkan hadis sahih bukhari jilid iv:
“Dari Anas bin Malik R.A,
Rasulullah SAW. melihat banyak wanita dan anak-anak kembali dari suatu pesta
perkahwinan. Lalu beliau berdiri lama-lama degan gembira, seraya berkata: “Hai
Tuhan! Kamu ini semua adalah termasuk orang-orang yang paling saya cintai” (Hadis
Riwayat Bukhari)
Jelaslah disini bahawa islam
tidak melarang mana-mana adat di dunia ini selagi ianya tidak melanggar hukum
syarak.
Menurut Kamus Dewan (1997), adat
bermaksud peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Manakala istiadat
pula bermaksud berbagai-bagai adat yang diikuti. Jika dahulu masyarakat melayu
hanya mengikut adat nenek moyang sahaja namun kini menteliti masyarakat melayu
telah berubah seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang dikecapi negara
kita. Persoalanya adakah adat perkahwinan dewasa ini selari dengan tuntutan
syariat Islam?
Adat-adat perkahwinan yang biasa
dilakukan oleh masyarakat Melayu ialah merisik, meminang, bertunang, majlis
akad nikah, bersanding, dan walimatul urus iaitu majlis perkahwinan. Secara
dasarnya perkahwinan orang Melayu dewasa ini selari dengan tuntutan Islam walau
bagaimanapun, ada sebahagian upacara yang diadakan di dalam adat perkahwinan
itu yang bercanggah dengan ajaran islam. Adat Meminang merupakan adat
kebiasaan masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam. Peminangan adalah
permulaan proses perkahwinan dan merupakan suatu ikatan janji pihak lelaki dan
perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh
kedua-dua pihak. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri
orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang. Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda
ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki,
pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka
hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan
dilakukan.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana
wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan
menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke
jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan
tersebut. Menurut ustazah Marina Munira binti Abdul Muttalib dari Fakulti
Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amalan
bertunang di dalam islam dipanggil khitabah dan ianya sama sekali tidak
bertentangan dengan syariat islam tetapi apa yang berlaku sekarang ialah ada
segelintir masyarakat yang bakal pengantin lelaki itu sendiri yang menyarungkan
cincin kepada pasangannya. Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran islam
kerana mereka berdua lagi bukan muhrim.
Adat persandingan dilihat
sebagai suatu perkara yang “wajib” bagi satu pasangan apabila berkahwin dari
kaca mata kebanyakan masyarakat Melayu. Persandingan dalam masyarakat Melayu
dapat ditakrifkan sebagai suatu perlakuan yang menempatkan pasangan
suami-isteri yang telah diijab-kabulkan di atas pelamin yang dihias indah
dengan mengenakan pakaian yang kemas dan cantik, berhias wajah serta dikipas
oleh dua orang pengipas yang turut dikenali sebagai pengampit. Tujuan diadakan
adat persandingan adalah untuk diperlihatkan pasangan pengantin tersebut kepada
masyarakat setempat dan sebagai nostalgia manis dalam kehidupan pasangan
pengantin tersebut selain bertujuan meneruskan tradisi nenek moyang secara
turun-temurun.
Ustaz Syed Salim bin Syed hussin
dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berkata demi meraikan adat, Islam
membenarkan persandingan dengan meletakkan beberapa syarat iaitu hendaklah
disandingkan secara tertutup di hadapan muhrim atau keluarga terdekat dan
kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat sahaja. Walau bagaimanapun, jika
ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan atau untuk
mengisytiharkan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum
keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin atau para jemputan mestilah
menutup aurat serta tidak berhias dengan keterlaluan kecuali perhiasan yang
biasa dilihat.Terdapat beberapa upacara tertentu yang menimbulkan sedikit
kontroversi dalam adat persandingan ini. Antara upacara tersebut ialah upacara
menabur beras kunyit, membaca jampi mentera, berandam, berhias untuk dipamerkan
(tabarruj), mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran, menjadikan wang
atau hadiah sebagai suatu kemestian, mas kahwin dan hantaran yang mahal, dan
lain-lain lagi. Upacara-upacara yang sedemikian rupalah yang menyebabkan adat
persandingan masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan isu khurafat, tahyul serta
pembaziran. Oleh itu, upacara persandingan dalam masyarakat Melayu perlu
dijalankan berlandaskan lunas-lunas Islam agar ia tidak membawa kepada
kemurkaan Allah. Islam bukanlah seperti pendapat yang dilahirkanan oleh Niccolo
Macmeivili yang mengatakan konsep “niat menghalalkan cara”. Walaupun niat kita
mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan
pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang
bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut
salah disisi agama.
“Niat yang baik tidak akan
menghalalkan yang haram” menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa
Mu’asirat dan Halal & Haram fil Islam, halaman 36.
Selain dari itu, upacara
perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu melibatkan
perbelanjaan yang banyak dan besar. Situasi ini sememangnya mendorong kepada
gejala pembaziran dalam masyarakat. Menurut Asma Farhana binti Anuar pelajar
tahun akhir jurusan Usuluddin Universiti Malaya (UM) kebanyakan orang Melayu
menganggap upacara walimah perlu dianjurkan secara besar-besaran kerana upacara
ini hanya dilangsungkan sekali dalam seumur hidup. Oleh itu, perkara ini pada
pandangan mereka tidak salah walaupun ia melibatkan isu pembaziran. Gejala ini
dari perspektif Islam sememangnya tidak dianjurkan. Hal ini kerana, selain
mewujudkan gejala pembaziran, gejala ini juga mampu memberikan pelbagai
implikasi yang negatif dalam kehidupan masyarakat. Contohnya sifat riak dan
takbur mungkin akan berleluasa dalam diri masyarakat. Pepatah Melayu yang berbunyi
“biar papa asal bergaya” sememangnya tidak sesuai dijadikan pendirian dalam
kehidupan kita. Islam merupakan agama yang mudah dan senang. Membicarakan isu
walimah daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah
dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah
r.a, katanya Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan.
Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana
itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan
gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah
pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam)” (Hadis
Riwayat Bukhari)Berdasarkan hadis ini, walimah daripada konteks Islam tidaklah
memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan
penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun,
Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam setiap perkara yang
dilakukan berdasarkan ayat Al-Quran:“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya
masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau
membazir(pemboros) dengan melampau (Surah Al-Isra:26)
Di samping itu, perbuatan andaman
yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga
dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang
disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud:
“Allah melaknat wanita yang
mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian;
wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi
dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”
Menurut Abu Thohib bin Ahmat 70
tahun, amalan andaman yang mengarut dan salah disisi syariat islam seperti
menepung tawar dengan tujuan memelihara pasangan pengantin daripada gangguan
mahkluk halus, bercukur yang melibatan percukuran bulu pada bahagian anak
rambut, muka, leher dan tangan dengan tujuan untuk menaikkan seri muka,
melangir iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh dengan air ke bahagian badan
yang dicukur dan bermandi bunga dan limau dengan harapan untuk membuang sial
tidak lagi diamalkan sekarang. Walau bagaimanapun akhir-akhir ini telah timbul
satu fomonena baru dimana juru andam atau lebih dikenali sebagai mak andam yang
terdiri dari kaum lelaki lembut atau lebih glamour dipangggil ‘mak nyah’.
Hal ini jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana aurat perempuan tidak
boleh dipertontonkan kepada orang yang bukan muhrim.
Berinai adalah salah satu amalan
semasa perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan
dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi saw tidak menegahnya, malah
menyuruhnya, dari Aisyah ra :
”Nabi melihat tangan di
sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka
dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda,” jika kamu seorang
perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dgn inai).” (Abu Daud,
4166) dan (an-Nasa’iy 5092)
Haji Mohd Yusof Abdul Ghani,
Hakim Syarie, Mahkamah Tinggi Pahang berkata ” memakai inai tidak salah selagi
ianya tidak dipakai untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah “. Walau
bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan
kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan
lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam
Muslim:
“Daripada Anas dia berkata: “Bahawa
Nabi saw melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Za’faran (kuma-kuma) adalah
sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum.
Dilarang memakai za’faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan
baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun
inai itu sama seperti za’faran dari segi mengeluarkan warna dan bau. Pada
masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di
dalam islam dibolehkan berdasarkan hadis
:”Dalam riwayat al-Bukhari
daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka
baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang
Ansar sukakan hiburan.
Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’
yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda:
” Perbezaan antara yang halal
dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya
perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza
dengan perzinaan.”
Berdasarkan dalil-dalil ini,
dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam
Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan
hati yang gundah-gulana. Dewasa ini, ramai juga yang mengundang kugiran atau
deejay untuk tujuan hiburan, seringkali hiburan itu berlebihan dan sampai
kepada peringkat melampau, bahkan yang lebih buruk lagi kadangkala terdapat
juga yang menganjurkan joget lambak dan ada pula yang mengundang “mak nyah”!
Hal ini jelas tidak sesuai dan haram.
Maka dengan itu, tiada sebarang
sebab upacara perkahwinan dilarang dalam Islam, namun pelaksanaannya sahaja
yang perlu berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan Islam.
Jelaslah, Islam bukan sesuatu
agama yang memberati para penganutnya dalam melayari arus kehidupan di dunia
ini. Islam secara mudahnya merupakan agama yang diwahyukan untuk semua jenis
manusia yang terdapat di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam tidak pernah
melarang sama sekali para penganutnya daripada mengamalkan kebudayaan dan
kesenian yang terdapat dalam setiap bangsa. Namun, perlu difahami bahawa setiap
amalan yang dipraktikkan itu perlu selaras dan selari dengan syariat Islam.
Begitu jugalah halnya dengan isu perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Ia boleh
dilakukan dan diamalkan selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat
Islam.
sumber: http://syikinyahya.wordpress.com
sumber: http://syikinyahya.wordpress.com
Leave a Reply