Sudah menjadi satu rutin bagi
kita masyarakat malaysia bila hampir sahaja musim cuti persekolahan pasti
berderet-deret kad undangan walimatul urus yang diterima, kadang-kadang dalam
satu hari ada dua atau tiga undangan yang perlu dihadiri. Sememangnya sebagaimana
yang kita ketahui Perkahwinan itu adalah Sunnah, Dengan adanya ikatan
perkahwinan, jiwa menjadi tenang dan tenteram, mendapat keturunan yang halal
lagi sistematik, sekali gus ikatan perkahwinan juga dapat mengawal diri
daripada berlakunya pelbagai bentuk penzinaan, homoseksual, pelacuran dan
sebagainya.
Memang terdapat banyak hikmah
dalam perkahwinan antaranya adalah mampu menjaga kehormatan diri, untuk
mengekalkan dan meneruskan zuriat manusia di muka bumi ini dan seterusnya
meramaikan manusia dan supaya manusia itu dapat hidup berbahagia dengan saling
berkasih sayang dan cinta-mencintai.
Sebagaimana firman Allah swt yang
bermaksud:
“Dan diantara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu
(wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu
bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya diantara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang
yang berfikir.” –(Surah Ar-Rum:21)
Bila disebutkan tentang
perkahwinan maka tak lengkap rasanya kalau tidak diikuti dengan kendurinya,
tapi tahukah kita mengadakan kenduri kahwin bagi meraikan pasangan pengantin
yang telah dinikahkan dengan mengadakan jamuan makan kepada orang ramai,
khususnya kepada saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai apa hukumnya?
Kenduri untuk pernikahan sepasang pengantin ini merupakan anjuran dan sunnah
Rasulullah SAW. Hukumnya adalah sunat muakkad (sangat dituntut). Hal ini adalah
sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas .a katanya :
“Ketika tiba waktu pagi hari
setelah Nabi SAW menjadi seorang pengantin dengan Zainab ibn Juhsy, baginda
mengundang orang ramai, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu
mereka pun bersurai.” – (Riwayat al-Bukhari)
Dari Anas bin Malik ra menyebut
bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan
kuning, lalu baginda bertanya ;
Kesan apakah ini?
Abdul Rahman menjawab;
Wahai Rasulullah aku telah
berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan
sebanyak lima dirham emas.
Sabda Rasulullah;
Buatlah kenduri walaupun
dengan seekor kambing.
Majlis perkahwinan yang
dikehendaki oleh syarak sangat mudah dan tidak menyusahkan. Oleh itu
perkahwinan yang baik ialah yang ringan perbelanjaannya, yang tidak
memberatkan, tidak bermewah-mewah dan tidak melebihi batas-batas yang
diperlukan, serta tidak membawa kepada pembaziran kerana pembaziran itu
bertentangan dengan hukum syarak. Sebenarnya mengadakan majlis perkahwinan
sehingga terpaksa menanggung beban hutang tidaklah digalakkan oleh agama,
cukupla dengan sekadar yang termampu sahaja. Kerana Antara hikmah Islam
menggalakkan supaya diadakan kenduri kahwin adalah untuk :
• Melahirkan rasa kesyukuran
kepada Allah kerana dapat mendirikan rumah tangga.
• Melahirkan rasa kegembiraan
atas ikatan perkahwinan.
• Mengisytiharkan kepada orang
ramai bahawa pasangan telah menjadi suami isteri yang sah.
• Memberi peluang kepada para tetamu
bersuai kenal di samping merapatkan hubungan silaturrahim.
Maka disini jelas kepada kita
digalakkan agar mengadakan perkahwinan secara sederhana yangmana ianya tidak
membawa kepada pembaziran. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan.
Masyarakat kita pada hari ini kebanyakannya mengadakan kenduri kahwin sampai
terpaksa berhutang. Itulah amalan masyarakat kita hari ini yang lebih
mementingkan adat dari sunnah Nabi sendiri.
Sebaiknya laksanakanlah walimah
atau kenduri kahwin sekadar yang termampu sahaja. Apa yang penting ia dilakukan
dengan niat yang ikhlas selain untuk memanjatkan kesyukuran tanpa mengharapkan
apa-apa balasan. Bukan kerana menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Mudah-mudahan
majlis yang diadakan dilimpahi berkat dan keredhaan ALLAH SWT. Kenduri yang
berkat itu amat penting , sama pentingnya akad nikah mengesahkan ikatan suami
isteri.
Apalah gunanya jika wang
dihabiskan untuk majlis besar-besaran tapi jauh daripada keberkatan Allah
sehingga pengantin terpaksa berhutang dan meminjam. Hal ini memberi implikasi
dalam melaksanakan tanggungjawab suami isteri dan membina keluarga bahagia.
Justeru, laksanakanlah walimah berlandaskan sunnah, semoga perkahwinan
diberkati ALLAH SWT. InsyaAllah.
Sumber: http://www.ukhwah.com/
Leave a Reply