Isu pengklonan

Perkataan klon berasal dari perkataan Greek yang bermaksud ‘ranting’. Ini berasaskan kepada penanaman pokok yang memerlukan ranting bagi membiakkannya. Ranting tersebut mengandungi kandungan gen yang sama dengan pokok asal. Kamus Longman Dictionary of Contemporary English (1984:197) memberi maksud klon sebagai “thenonsexually-produced descendants of a single plant or animal” iaitu hasil keturunan tanpa seks dari satu tumbuhan atau haiwan.
Berikut merupakan definisi yang lebih lanjut tentang pengklonan biologi berdasarkan pelbagai sumber:
  • Sekumpulan individu yang sama dari segi genetik dan dilahirkan oleh induk yang sama melalui pembiakan aseks. Banyak tumbuhan menunjukkan ciri ini dengan menghasilkan tuber atau rizom.
  • Sekumpulan sel yang sama dari segi genetik akibat pembahagian mitosis daripada sel induk.
  • Sekumpulan molekul DNA yang dihasilkan oleh satu rantai DNA asal akibat bakteria atau virus yang menggunakan teknik biologi bermolekul. Proses ini lebih dikenali sebagai pengklonan molekul atau pengklonan DNA .
  • Penghasilan haiwan yang sama dari segi genetik akibat “pembahagian embrio”. Keadan ini berlaku secara semulajadi pada tahap dua sel untuk menghasilkan kembar seiras.
  • Penciptaan satu atau lebih haiwan yang sama dari segi genetik dengan memindahkan nukleusnya. Proses ini juga dikenali sebagai Pemindahan Nuklear (Nuclear Transfer) ataupun penggantian sel nuklear sepertimana Dolly dihasilkan).
Secara ringkasnya, pengklonan boleh dieertikan sebagai Pengklonan adalah satu proses pembiakan seksual tanpa memerlukan percantuman sel jantan (sperma) dengan sel betina (ovum). Sebaliknya apa yang diperlukan ialah sel matang mengandungi kod genetik, iaitu asid deoksiribonukleik (DNA), yang dimasukkan ke dalam ovum yang tidak tersenyawa, yang dikeluarkan nukleusnya.
bayi klon buatan manusiabayi klon_HARAM
Pengklonan Menurut Perspektif Islam

Secara dasarnya, Islam menggalakkan kajian di dalam bidang sains dan teknologi serta menyambut baik perkembangan ilmu pengetahuan dan penelitian ilmiah, bahkan menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam mengetahui dan mendalaminya. Sejak zaman Rasulullah s.a.w. Islam menyuruh umatnya meneroka alam bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada umat manusia. Walau bagaimanapun, jika kajian yang dilakukan dan produk yang dihasilkan boleh mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan alam, ia dilarang dan diharamkan oleh Islam.
Klon yang dihalalkan
Tidak semua klon diharamkan, namun begitu klon yang dibolehkan mestilah mempunyai
syarat-syarat berikut;
  1. Klon janin manusia untuk tujuan kajian, kaedah ini adalah diharuskan dengan syarat janin tersebut dimusnahkan sebelum tempoh 120 hari berdasarkan pandangan para fuqaha’ yang mengharuskan pengguguran kandungan sebelum sempurna 120 hari. Pengguguran ini diharuskan kerana sebelum 120 hari, janin tersebut masih belum ditiupkan roh.
  2. Klon untuk tujuan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu bagi menggantikan organ yang rosak, klon jenis ini juga diharuskan dalam Islam.
  3. Pengklonan dibenarkan terhadap haiwan dan tumbuh-tumbuhan klon yang dilakukan terhadap haiwan juga diharuskan berdasarkan syarat-syarat berikut:
  • Penciptaan tersebut sangat penting kepada kehidupan manusia, bukan hanya kepada sesetengah individu.
  • Tidak menimbulkan kerosakan atau bahaya yang lebih besar daripada manfaat yang diperolehi.
  • Tidak mendatangkan kesakitan atau membahayakan binatang itu sendiri, sekalipun untuk jangka masa panjang. Tindakan menyakiti makhluk di kalangan haiwan, hukumnya adalah haram di sisi agama Islam.
Pengklonan Manusia Diharamkan
Klon yang dilakukan ke atas manusia adalah dilarang di sisi syarak berdasarkan sebab-sebab berikut :
  1. Pengklonan manusia untuk apa tujuan sekalipun adalah haram. Pengharaman ini juga Disokong oleh Mufti Mesir Nasser Farid Wasel dan di dalam Mu’tabar Fiqh ke-10 Academy Fiqh Islami India kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah S.W.T..
  2. Pengklonan manusia untuk diambil organ-organ tertentu dari tubuh manusia yang telah diklonkan bagi tujuan perubatan hukumnya juga haram kerana pengklonan ini telah melahirkan manusia yang cukup sifatnya walaupun dengan cara pengklonan
Oleh yang demikian tidak boleh melakukan sesuka hati kepada organ-organ tubuhnya walaupun masih pada peringkat janin, kerana dia telah memiliki hak. Tetapi jika melakukan pengklonan kepada organ-organ tertentu seperti jantung, hati dan lain-lain, bagi tujuan perubatan yang penting dan boleh diterima akal ia dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak membahayakan serta tidak mengambil hak sesiapa.

Faktor pengklonan manusia diharamkan
Perbuatan pengklonan reproduktif manusia dilarang dalam Islam kerana bertentangan dengan hukum-hukum dari aspek akidah, syariah dan kemasyarakatan. Ia bertentangan kerana pengklonan membawa kepada kekeliruan dalam pemberian nafkah, perwalian nikah, nasab keturunan, batas pergaulan dengan ahli keluarga, status muhrim dan hak penerimaan harta pusaka. Apabila pengklonan manusia dilakukan akan menyebabkan berlakunya perkara-perkara berikut:
  1. Perbuatan ini akan menjatuhkan darjat manusia sama seperti haiwan dan bertentangan dengan hikmat kejadian manusia seperti yang diterangkan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya yang bermaksud :
Maksudnya : Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan ( Surah Al-Isra’ ayat 70 )
2. Pengklonan jenis ini juga akan memberikan implikasi yang buruk kepada individu dan masyarakat serta terhakisnya ikatan kekeluargaan dari segi syarak dan undang-undang.
3. Pengklonan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T seperti yang tersebut di dalam Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Maksdunya : (setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah ugama Yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, Iaitu ugama Yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama Yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. ( Surah Ar-Rum ayat 30 )
4. Pengklonan juga menafikan keberagaman atau berbagai jenis. Allah S.W.T menciptakan alam ini berdasarkan kaedah keberagaman. Ini ditekankan lagi oleh Alah S.W.T di dalam Al-Quran melalui FirmanNya yang bermaksud :
Maksudnya : Tidakkah Engkau melihat Bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan Dengan air hujan itu buah-buahan Yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada Yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan Merah, Yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga Yang hitam legam dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. ( Surah Fathir ayat 27-28 )
Pengklonan jelas bertentangan dengan kaedah keberagaman, kerana teknik ini hanya menghasilkan ramai orang yang sama daripada seorang sahaja, dan ini jelas akan mengakibatkan terjadi banyak kerosakan kepada kehidupan manusia mahupun sistem sosial.
Secara kesimpulannya, Pencapaian teknologi pengklonan adalah merupakan satu pencapaian teknologi yang mampu meningkatkan taraf kehidupan manusia. Namun dalam kehidupan dunia yang tidak sekular, peranan agama amat penting dalam memandu kehidupan ke arah keredaan Allah. Usaha mencapai kemajuan sains bagi menambah keselesaan kehidupan manusia tidak seharusnya meminggirkan tuntutan agama. Islam menggalakkan penemuan baru yang selaras dengan tuntutan shariah dan sekaligus menafikan sebarang aktiviti yang boleh membawa kerosakan kepada tamadun kemanusiaan walaupun niat pada peringkat awalnya adalah untuk kebaikan manusia.
Sungguhpun teknologi pengklonan secara umum boleh membawa manfaat kepada kehidupan manusia namun pengklonan manusia adalah pencapaian yang boleh memberikan lebih banyak impak negatif kepada manusia terutamanya kepada kehidupan beragama. Bagi masyarakat Islam, isu pengklonan manusia akan memberi impak yang besar dalam kehidupan kekeluargaan Islam. Ini kerana perkahwinan yang sah bagi mendapatkan zuriat adalah merupakan tonggak kepada pembinaan keluarga dan masyarakat Islam yang harmoni dan sejahtera. Kelahiran generasi manusia yang tidak memiliki ibubapa yang ‘sah’ akan menjadi penghalang kepada pembinaan masyarakat madani dan tamadun manusia yang dihormati.
Selain itu, perbuatan pengklonan manusia ini sangat memberi kesan dalam pelbagai aspek terutamanya aspek aqidah dan syariah. Dari aspek aqidah, ia akan menyebabkan timbulnya kepercayaan bahawa manusia tidak lagi memerlukan adanya Tuhan atau mempercayaai kekuasaan Tuhan. Ini kerana manusia akan mendakwa mereka juga boleh mencipta manusia malah boleh memilih bentuk dan jenis manusia yang mereka kehendaki.
kejahatan tgn manusia


Sumber : http://ridzuan1706.wordpress.com/2009/08/28/pengklonan-haram-di-sisi-islam/

This entry was posted by Musleha binti Mokter. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Social Icons

Featured Posts