Soalan
Saya telah berkenalan dengan
seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan
panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak
berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak
meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang
timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar
dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya
lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut,
bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya
sentiasa berada dilandasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Jawapan
Tahniah, kerana bertemu dengan
pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan
wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari
kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan
buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa
yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh
hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya.
Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di
tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan
pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari
lakukan :-
1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :
Ertinya : "telah datang
seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi
isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat
kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah
kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas
menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu
menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).
Imam Ibn Hajar menegaskan tiada
catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki (
Fath al-Bari, 9/175 ).
Justeru, jangan terlalu
terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi
warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik.
Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada
Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)
2) Saudari diizinkan untuk
menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu
bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di
dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan
menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia
berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk
kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya dalilnya : "telah
datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin
memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu
telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :
Ertinya : "Pergilah kamu
melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat
Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah
bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : "
Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi
menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad,
At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah
al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).
Perlu diingat bahawa melihat
bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap,
budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan
pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah,
Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)
3) Jangan bertangguh atau
berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia
amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga
bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :
Ertinya : " Tidak dilihat
(penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " (
Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami'
As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).
Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat
yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah (
Faidhul Qadir, 5/294)
4) Jangan menghebahkan kepada
awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin'
boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa
cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5) Jangan bertemu berdua-duaan di
luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki
yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan
begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai
ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang
seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu
individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.
6) Mengurangkan komunikasi yang
tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa
syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media
elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak
keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya
tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya
kira secara ‘verbal' lebih mudah.
7) Kerana perbicaraan adalah
panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil
al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-
- Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
- Haram ber"dating" dan berkapel tanpa
disertai mahram yang thiqah.
- Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama
ada sms, phone, chat, mesengger.
- Awas fitnah masyarakat sekeliling.
- Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
- Haram melihat kepada aurat masing-masing.
- Awas daripada bertukar gambar.
- Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.
Ingatlah wahai anak-anak muda
sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam
hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana
tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka
meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali
sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau
suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana
tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin.
Sekian, Wallahu'alam.
Ust Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
15 Disember 2006
Leave a Reply