Dr Zaharuddin Abd Rahman
SOALAN
Minta jasa baik Dr, untuk
menerangkan trend orang berkahwin masa kini yang biasanya membuat sesi pre-weddingatau
selepas kahwin. Bagaimana pula pendapatan atau upah bagi jurugambar yang
terbabit. Terima Kasih Dr.
JAWAPAN
Menurut hukum Islam, perkahwinan
sememangnya wajar dihebohkan dan digalakkan untuk menganjurkan majlis kenduri
kendara. Selain menyambut hari bahagia, ia juga sebagai iklan kepada
masayarakat berkenaan perkahwinan yang dibuat bagi mengelak salah tanggapan
terhadap pasangan di kemudian hari. Hukum kenduri kahwin dan menghebahkannya
ialah sunat sahaja sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:
"Adakanlah kenduri kahwin
walaupun hanya dengan seekor kambing."
Pun begitu, diakui bahawa hari
ini susah semakin merebak trend menggunakan khidmat jurugambar professional
atau separa professional untuk aktiviti bergambar sebagai kenangan perlu
diteliti hukumnya.
Ringkasnya begini:-
1. Hukum bergambar secara umum :
ia adalah harus dan tertakluk kepada jenis gamabr yang diambil. Demikian fatwa
majoriti ulama kontemporari termasuk Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
2. Bergambar selepas
bernikah
Ia bergantung kepada beberapa
keadaan seperti berikut :-
a- Pakaian yang dipakai
oleh pihak pengantin : Sekiranya pakaiannya mendedahkan aurat secara jelas atau
sipi-sipi terdedah. Penggambaran itu adalah DIHARAMKAN jika diambil oleh
jurugambar bukan mahram kedua-dua pengantin. Jika diambil oleh mahram
kedua-duanya, maka tidaklah mengapa dengan syarat gambar yang dipetik tidak
disiarkan kepada awam sama ada di flicker, facebook, youtube, blog atau
lainnya. Ia hanya untuk kenangan peribadi sahaja.
Berhias (tabarruj) dengan
menampakkan aurat dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah
dilarang. Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu
bersolek(berhias) seperti mana wanita jahiliyah berhias."Janganlah kamu
bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33)
b- Pakaian menutup aurat
namun dengan aksi peluk memeluk, cium mencium dan lain-lain aksi yang agak
boleh mengghairahkan: Ia juga haram sekiranya jurugambar bukan mahram khususnya
bagi pengantin wanita.
c- Pakaian menutup aurat dengan
sempurna cuma bersolek dan berhias menarik dengan jurugambar asing atau bukan
mahram. Dalam konteks ini, saya berpandangan, hukumnya adalah DIBENARKAN dengan
syarat tiada aksi intim ditayangkan di hadapan jurugambar. Gambar juga
DIBENARKAN untuk disebarkan kepada rakan taulan secara berpatutan sekadar
member maklum perkahwinan telah dilangsungkan.
Adapun, jika timbul perasaan
riya’, berbangga dengan pakaian yang dipakai dan majlis yang dianjurkan, itu
merupakan dosa berasingan yang dilakukan oleh pasangan. Itu tidaklah menjadikan
seluruh majlis dan aktiviti bergambar itu sebagai haram. Ia dianggap sebagai haram
lighairihi jika berlaku.
Justeru, jika ada pasangan yang
merasakan persiapan dan pakaian mereka terlalu mahal dan secara logiknya akan
mengundang perasaan cemburu berlebihan di kalangan awam yang melihat, sebaiknya
gambar yang terpapar diminimakan dari sebarang hebahan awam bagi menjaga hati
sendiri dan orang lain yang akan melihat.
1. Bergambar sebelum bernikah
(pre-wedding)
Ia juga bergantung kepada keadaan
seperti berikut :-
a. Pakaian menutup aurat
dengan sempurna dan pasangan diambil gambar mereka TANPA bersentuh atau TANPA lain-lain
aksi yang boleh mengghairahkan seperti berbaring, berpelukan, berpegangan
tangan atau lain-lain aksi yang khas untuk suami isteri yang sah sahaja. Dalam
keadaan sebegini hukumnya di antara MAKRUH dan HARAM kerana dibimbangi nafsu
masing-masing sukar dikawal apabila berada secara berdekatan, lalu ia boleh
sahaja termasuk di dalam kategori “mendekati zina”. Justeru, ia sangat elok
untuk dijauhi kerana keperluannya amat kurang dan hampir tidak diperlukan malah
boleh jatuh di dalam kes pembaziran. Firman Allah yang bermaksud: “Dan
janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau”.(Surah
al-Isra’ 26)
Imam al-Jurjani mengatakan bahawa
al-Israf ialah mengeluarkan harta lebih daripada perkara yang
diperlukan.Manakala al-Tabzir pula ialah mengeluarkan harta bukan kepada
perkara yang diperlukan (perkara maksiat).
b. Pakaian tidak menutup aurat
atau dengan aksi bak suami isteri : Ia adalah HARAM tanpa sebarang keraguan
lagi. Ini juga fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia yang
mana petikan beritanya berbunyi :
Foto pra-perkahwinan pasangan
pengantin baru Islam yang merakamkan aksi intim sebelum majlis akad nikah,
dikategorikan sebagai budaya haram di sisi Islam.
Kelaziman bakal pengantin
beragama Islam merakamkan foto secara intim termasuk berpelukan dan berbaring
di atas katil sebelum sah bergelar suami isteri daripada segi hukum adalah
bertentangan dengan ajaran Islam.
Sehubungan itu, Institut
Kebudayaan Melayu Jambi mengeluarkan kenyataan bahawa budaya berkenaan harus
dicegah seiring dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI)
berhubung isu yang sama.
Menurut pengerusi bahagian
kajian dan pembangunan institut berkenaan, Djunaidi T. Noer, amalan merakamkan
foto pra-perkahwinan bukanlah budaya masyarakat Jambi dan tersasar daripada
hukum Syariah.
"Kami menyeru agar semua
pasangan yang bertunang dan pengantin beragama Islam supaya tidak merakamkan
foto pra-perkahwinan seperti berpeluk, berbaring antara satu sama lain di katil
dan sebagainya. Ia merupakan haram," tegas Djunaidi seperti dilaporkan
akhbar The Jakarta Post, hari ini.
UPAH JURUGAMBAR
Mankala upah jurugambar semuanya
tertakluk kepada hukum yang disebut di atas tadi, Jelasnya ia menjadi HARAM
jika gambar intim lagi mesra pasangan dalam keadaan pre-wedding.
Boleh pula menjadi halal lagi
DIBENARKAN jika jurugambar adalah mahram pengantin perempuan khususnya.
Juga upahnya menjadi HARAM jika
pengantin tidak menutup aurat, dan dibantu untuk memetik gambar mereka dan
dihias menggunakan teknik fotografi yang canggih bagi mencantikan hasilan foto.
Semua itu dikira bersubahat dalam perkara dosa dan maksiat yang ditegah oleh
Allah SWT. Pendapatan sedemikian adalah TIDAK BERSIH lagi haram.
Boleh menjadi HARUS walau
jurugambar bukan mahram tapi gambar diambil selepas pernikahan dan menutup
aurat dengan sempurna serta tiada aksi yang boleh kebiasaan boleh merangsang
nafsu biasa lelaki.
Sekian
Dr Zaharuddin Abd Rahman
2 Mac 2012
Leave a Reply