Ingatkah kita...



Ingatkah kita...
Pada figura ini
Najis telah diletakkan pd belakangnya ketika mana dia sdg sujud
Tidak berganjak dr sujudnya sehinggalah dtg anaknya,mengalir air mata anakandanya membersihkan najis itu
Ingatkah kita...
Figura ini kasutnya dipenuhi darah dek balingan batu-batu tajam penduduk Taif.
Ingatkah kita...
Figura ini patah giginya dek serangan2 tentera musyrikin ketika perang Uhud.
Ingatkah kita...
Detik persediaan Perang Khandak
Figura ini
Mengikat perutnya dgn 2 ketul batu tatkala shbt2 lain mengikat perut mereka hanya dgn seketul batu
Menunjukkan dia lebih lame menahan kelaparan dr shbt2.
Oh...ingatkah kita
Figura ini telah diberikan limau,maka makanlah dia keseorgn tanpa berkongsi dgn shbt2nya seperti kebiasaan.
Shbt2 pelik mengapa demikian,dia menyatakan andai limau ini aku berikan kpd kalian,pastinya kalian akan mengherdik si pemberi limau itu krn limau itu sgt masam.
Siapakah figura ini...
Mengapa dia sanggup berkorban sehingga ke tahap itu..
Ya dialah Muhammad bin Abdullah
Penghulu sekelian nabi
Dia diutuskan tidak lain untuk membawa rahmat ke sekalian alam.
Ya Allah,pertemukanlah kami dengan kekasihMu,Muhammad Al Amin.

Mengapa Allah meminta manusia memerhatikan kejadian unta.

Perempuan berwatak muslimah



Beberapa minggu yang lalu, ustaz Muhammad Al-Amin membicarakan tajuk  wanita berwatak muslimah di IKIM.fm,slot pesona D'Zahra.Tidak sempat membuat catatan tetapi jumpa beberapa blog yang berkaitan apa yang diperbincangkan. Moga kita sama-sama membuat checklist diri untuk menjadi wanita berwatak muslimah. Kita mungkin tidak mampu jadi yang terbaik, tetapi moga kita sentiasa berusaha menjadi yang terbaik.Sayangilah diri kita sebagai muslimah. :)
1.         Bulu kening - Allah melaknat wanita yang mencukur bulu kening. Mafhum hadis: Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.
2.         Tidak memakai loceng kaki - kerana loceng kaki adalah pemakaian wanita jahiliah yang memang tujuannya untuk menarik perhatian lelaki. Berhiaslah dengan selainnya.
3.         Memakai bau-bauan - hendaklah sentiasa harum di hidung suami, maksudnya suami tidak pernah mencium bau busuk dari isterinya kerana isteri sentiasa menjaga hidung suami agar suami hanya bau wangi dari dirinya. Dan ditegah memakai bau-bauan di luar untuk tujuan menarik perhatian orang.
4.         Dada wanita - Wajib bagi wanita menjaganya dan melindunginya daripada dilihat oleh mata-mata yang khianat dengan kain tudung yang labuh. Ini kerana dada wanita merupakan daya penarik kaum lelaki yg sangat dahsyat. Lelaki kalah dengan wanita di bahagian dadanya. Justeru ianya sangat perlu ditutup dengan rapi.
5.         Gigi- Bahagian mulut yang perlu dijaga. Disunnahkan bersugi setiap kali nak solat jika ianya tidak dirasakan berat. Namun menjaga gigi ini jangan melampaui had sehingga mengikir gigi. Dilarang mengikir gigi krn perbuatan itu dilaknat Allah. Ianya merupakan tabiat wanita-wanita jahiliah yang mahu kelihatan cantik
6.         Muka dan leher - Untuk mejaga bahagian ini agar kelihatan cantik dan berseri hendaklah sentiasa dalam keadaan berwudhuk. Kerana daripada wudhuk itu ada Nur. Nur nya bukan sahaja dapat dilihat di akhirat nanti tetapi di dunia juga sudah Allah zahirkan. Bahagian leher dan muka termasuk dalam kategori aurat wanita. Leher wajib ditutup kerana leher wanita cantik hingga ianya mengiurkan lelaki yang melihatnya. Justeru leher wajib ditutup namun jangan menutupnya dengan kain tudung yang jarang hingga warna dan bentuknya jelas kelihatan. Itu serupa tidak menutup aurat.
7.         Berpakaian yang baik - yang menutup aurat dan mengikut sunnah. Yang dimaksudkan sunnah adalah warna yang tidak menarik, longgar dan labuh. Sabda Rasulullah "Seorang perempuan yang sudah didatangi haid tidak boleh menzahirkan tudunh badannya kecuali pergelangan tangan dan wajahnya.
8.         Tangan – Mafhum hadis “Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.
9.         Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31. Sabda Nabi Muhamad SAW yang bermaksud “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.
10.       Mulut (suara)- Firman Allah yang bermaksud “Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32. Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.
11.       Kemaluan –Firman Allah yang bermaksud “ Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31. Dan mafhum hadis “Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.
12.       Pakaian- Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah. Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
13.       Rambut -  Hadis nabi yang mafhumnya “Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sumber  yang diedit daripada

Jam Air Gajah ciptaan Al-Jazari

Detik jam simbol kepelbagaian, menggunakan sistem automasi dan menekankan kejituan……..

Masa akan terus berjalan samada bersama atau tanpa kehadiran kita.  Masa yang berlalu sudah menjadi sejarah dan kita hanya merancang untuk masa yang akan datang.  Penentuan detik jam menjadi perkara utama dalam Islam apabila waktu solat, laungan azan, puasa pada bulan Ramadhan dan merayakan Eidul Fitri mesti dilaksanakan dengan penuh kejituan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Surah al-‘Ashr:1-3)

Di atas peringatan inilah, al-Jazari seorang  jurutera yang soleh dan berasal dari timur-selatan Turki telah mencipta jam yang menggunakan teknologi automatik dan berkonsepkan kepelbagaian.  Al-Jazari telah mengguna prinsip air Archimedes yang berasal dari Greek digabungkan dengan peralatan masa air dari India, gajah dari India, burung phoenix dari Arab, permaidani Parsi dan naga dari China serta patung-patung orang Arab.
Rajah 1 Jam Gajah

(Sumber: 1001 Inventions- Muslim Heritage in Our World, ms 16)
Masa ditentukan oleh mangkuk air (prinsip Archimedes / ghati India) yang berada dalam perut gajah tersebut. Mangkuk yang berlubang terapung dalam tangki air yang terdapat dalam perut gajah tersebut. Air akan memenuhi mangkuk ini, kemudiannya mangkuk ini akan tenggelam secara perlahan serta mangkuk ini akan senget sebelah dan menarik tiga tali yang disambung kepada mangkuk ini.  Tempoh yang diambil untuk mangkuk ini tenggelam bergantung kepada saiz lubang tersebut.  Apabila tali ditarik, bola yang terdapat dalam istana (rujuk Rajah 1), akan keluar dan masuk ke dalam mulut naga.  Dan naga ini akan membengkokkan badannya untuk memasukkan bola ke dalam tembikar. Ia akan menyebabkan mangkuk dalam tangki air akan terapung semula dan proses ini akan berulang untuk setiap setengah jam.  Burung phoenix akan mengeluarkan bunyi dan berputar setiap kali mangkuk tenggelam.  Muka jam di atas kepala Saladin akan memberitahu waktunya.   Jam ini akan di set semula dua kali sehari iaitu ketika matahari naik dan terbenam.  Sila ke http://www.youtube.com/watch?v=doYPp-gaJ0o untuk memahami dengan lebih mudah cara kerja jam ini.

Jam gajah yang berada di Ibn Battuta Mall, Dubai telah dibina semula seperti yang ditunjukkan dalam rajah berikut:
Rajah 2 Jam gajah yang dibina semula
(Sumber: 1001 Inventions- Muslim Heritage in Our World, ms 17)
Al-Jazari seorang jurutera yang telah hidup lebih kurang lapan ratus tahun dahulu telah mencipta produk yang menggabungkan agama, sains, budaya dan seni.  Sistem automatik  terdapat dalam jam ini dan kejituan kerja al-Jazari adalah saiz lubang pada mangkuk yang diukur dan mengambil masa selama setengah jam untuk dipenuhi air, tenggelam dan proses ini berulang kembali.


Isu pengklonan

Perkataan klon berasal dari perkataan Greek yang bermaksud ‘ranting’. Ini berasaskan kepada penanaman pokok yang memerlukan ranting bagi membiakkannya. Ranting tersebut mengandungi kandungan gen yang sama dengan pokok asal. Kamus Longman Dictionary of Contemporary English (1984:197) memberi maksud klon sebagai “thenonsexually-produced descendants of a single plant or animal” iaitu hasil keturunan tanpa seks dari satu tumbuhan atau haiwan.
Berikut merupakan definisi yang lebih lanjut tentang pengklonan biologi berdasarkan pelbagai sumber:
  • Sekumpulan individu yang sama dari segi genetik dan dilahirkan oleh induk yang sama melalui pembiakan aseks. Banyak tumbuhan menunjukkan ciri ini dengan menghasilkan tuber atau rizom.
  • Sekumpulan sel yang sama dari segi genetik akibat pembahagian mitosis daripada sel induk.
  • Sekumpulan molekul DNA yang dihasilkan oleh satu rantai DNA asal akibat bakteria atau virus yang menggunakan teknik biologi bermolekul. Proses ini lebih dikenali sebagai pengklonan molekul atau pengklonan DNA .
  • Penghasilan haiwan yang sama dari segi genetik akibat “pembahagian embrio”. Keadan ini berlaku secara semulajadi pada tahap dua sel untuk menghasilkan kembar seiras.
  • Penciptaan satu atau lebih haiwan yang sama dari segi genetik dengan memindahkan nukleusnya. Proses ini juga dikenali sebagai Pemindahan Nuklear (Nuclear Transfer) ataupun penggantian sel nuklear sepertimana Dolly dihasilkan).
Secara ringkasnya, pengklonan boleh dieertikan sebagai Pengklonan adalah satu proses pembiakan seksual tanpa memerlukan percantuman sel jantan (sperma) dengan sel betina (ovum). Sebaliknya apa yang diperlukan ialah sel matang mengandungi kod genetik, iaitu asid deoksiribonukleik (DNA), yang dimasukkan ke dalam ovum yang tidak tersenyawa, yang dikeluarkan nukleusnya.
bayi klon buatan manusiabayi klon_HARAM
Pengklonan Menurut Perspektif Islam

Secara dasarnya, Islam menggalakkan kajian di dalam bidang sains dan teknologi serta menyambut baik perkembangan ilmu pengetahuan dan penelitian ilmiah, bahkan menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam mengetahui dan mendalaminya. Sejak zaman Rasulullah s.a.w. Islam menyuruh umatnya meneroka alam bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada umat manusia. Walau bagaimanapun, jika kajian yang dilakukan dan produk yang dihasilkan boleh mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan alam, ia dilarang dan diharamkan oleh Islam.
Klon yang dihalalkan
Tidak semua klon diharamkan, namun begitu klon yang dibolehkan mestilah mempunyai
syarat-syarat berikut;
  1. Klon janin manusia untuk tujuan kajian, kaedah ini adalah diharuskan dengan syarat janin tersebut dimusnahkan sebelum tempoh 120 hari berdasarkan pandangan para fuqaha’ yang mengharuskan pengguguran kandungan sebelum sempurna 120 hari. Pengguguran ini diharuskan kerana sebelum 120 hari, janin tersebut masih belum ditiupkan roh.
  2. Klon untuk tujuan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu bagi menggantikan organ yang rosak, klon jenis ini juga diharuskan dalam Islam.
  3. Pengklonan dibenarkan terhadap haiwan dan tumbuh-tumbuhan klon yang dilakukan terhadap haiwan juga diharuskan berdasarkan syarat-syarat berikut:
  • Penciptaan tersebut sangat penting kepada kehidupan manusia, bukan hanya kepada sesetengah individu.
  • Tidak menimbulkan kerosakan atau bahaya yang lebih besar daripada manfaat yang diperolehi.
  • Tidak mendatangkan kesakitan atau membahayakan binatang itu sendiri, sekalipun untuk jangka masa panjang. Tindakan menyakiti makhluk di kalangan haiwan, hukumnya adalah haram di sisi agama Islam.
Pengklonan Manusia Diharamkan
Klon yang dilakukan ke atas manusia adalah dilarang di sisi syarak berdasarkan sebab-sebab berikut :
  1. Pengklonan manusia untuk apa tujuan sekalipun adalah haram. Pengharaman ini juga Disokong oleh Mufti Mesir Nasser Farid Wasel dan di dalam Mu’tabar Fiqh ke-10 Academy Fiqh Islami India kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah S.W.T..
  2. Pengklonan manusia untuk diambil organ-organ tertentu dari tubuh manusia yang telah diklonkan bagi tujuan perubatan hukumnya juga haram kerana pengklonan ini telah melahirkan manusia yang cukup sifatnya walaupun dengan cara pengklonan
Oleh yang demikian tidak boleh melakukan sesuka hati kepada organ-organ tubuhnya walaupun masih pada peringkat janin, kerana dia telah memiliki hak. Tetapi jika melakukan pengklonan kepada organ-organ tertentu seperti jantung, hati dan lain-lain, bagi tujuan perubatan yang penting dan boleh diterima akal ia dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak membahayakan serta tidak mengambil hak sesiapa.

Faktor pengklonan manusia diharamkan
Perbuatan pengklonan reproduktif manusia dilarang dalam Islam kerana bertentangan dengan hukum-hukum dari aspek akidah, syariah dan kemasyarakatan. Ia bertentangan kerana pengklonan membawa kepada kekeliruan dalam pemberian nafkah, perwalian nikah, nasab keturunan, batas pergaulan dengan ahli keluarga, status muhrim dan hak penerimaan harta pusaka. Apabila pengklonan manusia dilakukan akan menyebabkan berlakunya perkara-perkara berikut:
  1. Perbuatan ini akan menjatuhkan darjat manusia sama seperti haiwan dan bertentangan dengan hikmat kejadian manusia seperti yang diterangkan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya yang bermaksud :
Maksudnya : Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan ( Surah Al-Isra’ ayat 70 )
2. Pengklonan jenis ini juga akan memberikan implikasi yang buruk kepada individu dan masyarakat serta terhakisnya ikatan kekeluargaan dari segi syarak dan undang-undang.
3. Pengklonan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T seperti yang tersebut di dalam Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Maksdunya : (setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah ugama Yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, Iaitu ugama Yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama Yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. ( Surah Ar-Rum ayat 30 )
4. Pengklonan juga menafikan keberagaman atau berbagai jenis. Allah S.W.T menciptakan alam ini berdasarkan kaedah keberagaman. Ini ditekankan lagi oleh Alah S.W.T di dalam Al-Quran melalui FirmanNya yang bermaksud :
Maksudnya : Tidakkah Engkau melihat Bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan Dengan air hujan itu buah-buahan Yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada Yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan Merah, Yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga Yang hitam legam dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. ( Surah Fathir ayat 27-28 )
Pengklonan jelas bertentangan dengan kaedah keberagaman, kerana teknik ini hanya menghasilkan ramai orang yang sama daripada seorang sahaja, dan ini jelas akan mengakibatkan terjadi banyak kerosakan kepada kehidupan manusia mahupun sistem sosial.
Secara kesimpulannya, Pencapaian teknologi pengklonan adalah merupakan satu pencapaian teknologi yang mampu meningkatkan taraf kehidupan manusia. Namun dalam kehidupan dunia yang tidak sekular, peranan agama amat penting dalam memandu kehidupan ke arah keredaan Allah. Usaha mencapai kemajuan sains bagi menambah keselesaan kehidupan manusia tidak seharusnya meminggirkan tuntutan agama. Islam menggalakkan penemuan baru yang selaras dengan tuntutan shariah dan sekaligus menafikan sebarang aktiviti yang boleh membawa kerosakan kepada tamadun kemanusiaan walaupun niat pada peringkat awalnya adalah untuk kebaikan manusia.
Sungguhpun teknologi pengklonan secara umum boleh membawa manfaat kepada kehidupan manusia namun pengklonan manusia adalah pencapaian yang boleh memberikan lebih banyak impak negatif kepada manusia terutamanya kepada kehidupan beragama. Bagi masyarakat Islam, isu pengklonan manusia akan memberi impak yang besar dalam kehidupan kekeluargaan Islam. Ini kerana perkahwinan yang sah bagi mendapatkan zuriat adalah merupakan tonggak kepada pembinaan keluarga dan masyarakat Islam yang harmoni dan sejahtera. Kelahiran generasi manusia yang tidak memiliki ibubapa yang ‘sah’ akan menjadi penghalang kepada pembinaan masyarakat madani dan tamadun manusia yang dihormati.
Selain itu, perbuatan pengklonan manusia ini sangat memberi kesan dalam pelbagai aspek terutamanya aspek aqidah dan syariah. Dari aspek aqidah, ia akan menyebabkan timbulnya kepercayaan bahawa manusia tidak lagi memerlukan adanya Tuhan atau mempercayaai kekuasaan Tuhan. Ini kerana manusia akan mendakwa mereka juga boleh mencipta manusia malah boleh memilih bentuk dan jenis manusia yang mereka kehendaki.
kejahatan tgn manusia


Sumber : http://ridzuan1706.wordpress.com/2009/08/28/pengklonan-haram-di-sisi-islam/

Kehebatan Allah dalam mencipta buah pinggang

Buah pinggang – contoh teknologi membran terunggul ciptaan Allah

Jumaat, 26 November 2010 17:16

Oleh Abdul Ghani Nasir BANGI, 26 Nov, 2010

  Buah pinggang dicipta Allah dalam tubuh manusia adalah contoh teknologi membran terunggul dan gabungan ilmu bioteknologi dan nanoteknologi yang mungkin selamanya tidak dapat dicipta manusia, kata seorang saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Profesor Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata dua buah pinggang dalam badan manusia yang berukuran 11 sentimeter dan berat lebih kurang 160 gram setiap satu, adalah contoh proses membran yang saban hari membantu manusia memisahkan yang kotor daripada yang bersih. “Kegagalan buah pinggang menjalankan fungsinya itu akan menyebabkan terkumpulnya bahan buangan dan bendalir berlebihan serta membahayakan. “Dua buah pinggang kita berfungsi mengumpul air kencing dan membuangnya melalui saluran kencing, mengawal keseimbangan asid-bes dalam darah, mengawal tekanan darah dengan menghasilkan hormon yang mengawal pengeluaran sel darah dalam sum-sum tulang dan mempengaruhi jumlah kalsium dalam darah dan pengeluaran vitamin D yang membantu mengekalkan kestabilan tulang,” katanya pada permulaan Majlis Syarahan Perdana bertajuk “Membran Nanopenurasan – Daripada Fundamental ke Arah Inovasi” di Bilik Senat, UKM, semalam. Berdasarkan hakikat itu jelas teknologi membran diguna secara meluas dalam industri hari ini sebenarnya sudah wujud selama mana usia Nabi Adam a.s lagi itu. Prof Ir Dr Wahab menerangkan melihat kepada struktur buah pinggang yang kecil itu mengingatkan kita kepada betapa kerdilnya manusia daripada aspek ilmu pengetahuan. Unit utama dalam buah pinggang ialah nefron di mana melalui nefron inilah berlakunya penurasan darah yang membantu buah pinggang berfungsi. Beliau menarik perhatian bahawa kegagalan buah pinggang telah membantu manusia mencari proses penurasan alternatif yang boleh membantu mereka yang kurang bernasib baik yang mengalami kegagalan itu. “Maka terhasillah proses hemodialisis iaitu darah dikitarkan keluar dari badan melalui unit membran yang mengeluarkan bahan buangan dan bendalir berlebihan. “Darah yang telah dicuci akan dikembalikan ke dalam badan dan keseluruhan proses dikawal oleh mesin dialisis yang dilengkapkan dengan pam darah dan sistem pemonitoran untuk memastikan ia selamat. “Membran dalam bentuk gentian geronggang adalah nadi kepada sistem pengawalan buah pinggang ini. Ia menjadi pengganti kepada buah pinggang yang telah rosak untuk mengekalkan keseimbangan dalam darah dan membuang toksin daripada merosakkan tubuh manusia,” katanya. Prof Ir Dr Wahab menerangkan betapa membran ciptaan manusia mempunyai banyak kelemahannya. Antara kelemahan yang jauh masih ketara dibandingkan dengan buah pinggang adalah jangka hayat membran hanya untuk dua-tiga kali pemakaian dan perlu dibuang. Ini menjadikan kos dialisis agak mahal sehingga mencecah RM2,000-RM2,500 sebulan. Kecekapan membran dibandingkan dengan buah pinggang masih rendah di mana setiap pesakit menjalani dialisis memerlukan tiga-empat jam sehari dan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. ‘Ternyata banyak yang perlu dipelajari mengenai pelbagai fenomena alam yang ilmu mengenainya hanya sedikit diperolehi manusia sebagaimana firman Allah swt dalam surat Al-Isra ayat ke-85 iaitu ‘Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit’, katanya.
 
Sumber :  http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/534-the-human-kydneys-have-the-ultimate-membrane-technology.html

Hukum Memakai Emas Putih & Platinum Bagi Lelaki



Soalan :
Assalamualaikum ustaz, bolehkah ustaz memberikan sedikit huraian berkenaan hukum orang lelaki memakai emas putih dan platinum, adakah harus kerana ia bukan emas seperti emas kuning?
JAWAPAN :
Hukum lelaki memakai emas amat jelas hukumnya, iaitu haram berdasarakn begitu banyak dalil-dalil hadith, antaranya :-
Ali bin Abu Talib r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. mengambil sutera, ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata: Kedua ini haram buat orang laki-laki dari umatku." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)
Tetapi Ibnu Majah menambah:
"halal buat orang-orang perempuan."
Nabi s.a.w. juga pernah melihat seorang laki-laki memakai cincin emas di tangannya, kemudian oleh Nabi dicabutnya cincin itu dan dibuang ke tanah.
Kemudian beliau bersabda:
"Salah seorang diantara kamu ini sengaja mengambil bara api kemudian ia letakkan di tangannya. Setelah Rasulullah pergi, kepada si laki-laki tersebut dikatakan: 'Ambillah cincinmu itu dan manfaatkanlah.' Maka jawabnya: 'Tidak! Demi Allah, saya tidak mengambil cincin yang telah dibuang oleh Rasulullah.'" (Riwayat Muslim)
Dan seperti cincin, menurut apa yang kita saksikan di kalangan orang-orang kaya, yaitu mereka memakai pena emas, jam emas, gelang emas, bekas penghidup rokok emas, gigi emas dan seterusnya adalah haram hukumnya. 
Bagaimanapun, bagaimana pula hukum emas putih? Adakah hukumnya sama seperti emas biasa yang berwarna kuning?
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu memahami apakah itu emas secara umum.
Emas adalah unsur kimia dalam tabel periodik yang memiliki simbol Au (bahasa Latin: 'aurum') dan nomor atom 79. Sebuah logam transisi (trivalen dan univalen) yang lembek, mengkilap, kuning, berat, "malleable", dan "ductile". Emas tidak bereaksi dengan zat kimia lainnya tapi terserang oleh klorinfluorin dan aqua regia. Logam ini banyak terdapat di nugget emas atau serbuk di bebatuan dan di deposit alluvial dan salah satu logam coinageKode ISOnyaadalah XAU. Emas melebur dalam bentuk cair pada suhu sekitar 1000 derajat celcius. (http://id.wikipedia.org/wiki/Emas )
Inilah namanya emas. Sekarang, jika terbukti emas putih adalah dari jenis yang sama logamnya maka hukumnya adalah sama dengan emas kuning. Jikalau kita melihat takrif emas putih di bawah :-
White GoldsWhat are they?
What are 'white golds'? Are they a special form of gold? Do they contain gold? These are typical questions often asked of us. Well, they are not a special form of gold (which is why you cannot get 24 carat white gold). Actually, they are true carat golds, just like yellow or red carat gold jewellery. They are gold alloys that look white rather than yellow. The white colour is achieved by careful choice of the alloying metals, which bleach the deep yellow of pure gold. ( Rujuk  : http://www.gold.org/jewellery/technology/colours/white.html
Juga disebut bahawa :-
"White gold is an alloy of gold and at least one white metal, such as silver or palladium. Like yellow gold, white gold is measured in Karats." (http://en.wikipedia.org/wiki/White_gold)
Berdasarkan keterangan dari sumber-sumber yang berwibawa ini, saya kira adalah jelas bahawa emas putih adalah jenis logam yang sama dengan emas kuning cuma ia terdapat campuran logam berwarna putih samada dari perak atau palladium. Justeru, hukumnya adalah sama iaitu Haram buat orang lelaki dan halal bagi kaum wanita memakainya.
Adapun Platinum, ia adalah jenis logam yang berlainan
Dalam takrifannya Platinum adalah : "Platina adalah suatu unsur kimia dalam tabel periodik yang memiliki lambangPt dan nomor atom 78. Sebuah logam transisi yang berat, "malleable", "ductile", berharga, berwarna putih-keabuan. Platinum tahan karat dan terdapa dalam beberapa bijih nikel dan copper. Platinum digunakan dalam perhiasan, peralatan laboratorium, gigi, dan peralatan kontrol emisi mobil." ( Rujuk : http://id.wikipedia.org/wiki/Platina )
Jelas dari penjelasan ini, bahwa emas putih bukanlah platinum sebagaimana yang didakwa beberapa pihak sehingga membawa kepada fatwa halal orang lelaki memakai emas putih kerana ia adalah platinum.
Kesimpulannya : Halal bagi lelaki memakai platinum dan haram baginya untuk memakai emas putih. Bagaimanapun yang terpilih tetap perak bagi orang lelaki, kerana ia adalah sunnah Nabi SAW jua.
Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman
12 Feb 2007
24 Muharram 1427

Walimatul urus : antara adat dan sunnah


Dalam kepesatan masyarakat menuju ke arah negara maju, masih wujud kekeliruan antara tuntutan agama dan adat yang menjadi pegangan kuat orang Melayu. Bahkan, ada pepatah mengatakan “biar mati anak, jangan mati adat”. Ini menggambarkan betapa dalam sesuatu situasi adat mendahului kepentingan lain dalam hidup. Dalam masyarakat Melayu adat masih diamalkan terutama dalam majlis perkahwinan.
Perkahwinan merupakan perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Perkahwinan dianggap sebagai tali penyambung dalam menghubungkan dua manusia secara halal sehingga mendapat zuriat. Sistem perkahwinan orang Melayu secara dasarnya banyak menurut adat-adat masyarakat dahulu yang berkaitan dengan adat-adat orang Hindu. Namun dengan kedatangan Islam, banyak perubahan yang berlaku selaras dengan perubahan taraf kehidupan dan perubahan fikiran orang Melayu amnya. Walau bagaimanapun, akibat daripada amalan yang sudah lama dituruti dan telah bersemadi dalam kehidupan orang Melayu, terdapat adat yang masih kekal dan diikuti tetapi sudah ada perubahan, ditambah atau diringkaskan untuk selari dengan ajaran islam.
Agama Islam adalah sebuah agama yang bersifat syumulliyah dan universal. Maka, agama Islam sememangnya merupakan agama yang bercorak konvensional iaitu yang boleh diterima umum. Kita perlu faham bahawa Islam bukanlah agama yang diwahyukan untuk bangsa Arab sahaja bahkan Islam adalah agama yang relevan untuk semua bangsa di dunia ini. Oleh itu, Islam bukanlah dilihat sebagai agama yang menghapuskan kebudayaan sesuatu bangsa jika bangsa tersebut memilih Islam sebagai agamanya. Hal ini kerana, antara faktor yang menyebabkan agama Islam berkembang kepada setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Begitulah juga halnya dalam soal upacara perkahwinan. Masyarakat Melayu sememangnya bebas untuk mengadakan upacara perkahwinan berdasarkan budaya dan adat mereka berdasarkan hadis sahih bukhari jilid iv:
“Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW. melihat banyak wanita dan anak-anak kembali dari suatu pesta perkahwinan. Lalu beliau berdiri lama-lama degan gembira, seraya berkata: “Hai Tuhan! Kamu ini semua adalah termasuk orang-orang yang paling saya cintai” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jelaslah disini bahawa islam tidak melarang mana-mana adat di dunia ini selagi ianya tidak melanggar hukum syarak.
Menurut Kamus Dewan (1997), adat bermaksud peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Manakala istiadat pula bermaksud berbagai-bagai adat yang diikuti. Jika dahulu masyarakat melayu hanya mengikut adat nenek moyang sahaja namun kini menteliti masyarakat melayu telah berubah seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang dikecapi negara kita. Persoalanya adakah adat perkahwinan dewasa ini selari dengan tuntutan syariat Islam?
Adat-adat perkahwinan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu ialah merisik, meminang, bertunang, majlis akad nikah, bersanding, dan walimatul urus iaitu majlis perkahwinan. Secara dasarnya perkahwinan orang Melayu dewasa ini selari dengan tuntutan Islam walau bagaimanapun, ada sebahagian upacara yang diadakan di dalam adat perkahwinan itu yang bercanggah dengan ajaran islam. Adat Meminang merupakan adat kebiasaan masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan dan merupakan suatu ikatan janji pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang. Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki, pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan dilakukan.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut. Menurut ustazah Marina Munira binti Abdul Muttalib dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amalan bertunang di dalam islam dipanggil khitabah dan ianya sama sekali tidak bertentangan dengan syariat islam tetapi apa yang berlaku sekarang ialah ada segelintir masyarakat yang bakal pengantin lelaki itu sendiri yang menyarungkan cincin kepada pasangannya. Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran islam kerana mereka berdua lagi bukan muhrim.
Adat persandingan dilihat sebagai suatu perkara yang “wajib” bagi satu pasangan apabila berkahwin dari kaca mata kebanyakan masyarakat Melayu. Persandingan dalam masyarakat Melayu dapat ditakrifkan sebagai suatu perlakuan yang menempatkan pasangan suami-isteri yang telah diijab-kabulkan di atas pelamin yang dihias indah dengan mengenakan pakaian yang kemas dan cantik, berhias wajah serta dikipas oleh dua orang pengipas yang turut dikenali sebagai pengampit. Tujuan diadakan adat persandingan adalah untuk diperlihatkan pasangan pengantin tersebut kepada masyarakat setempat dan sebagai nostalgia manis dalam kehidupan pasangan pengantin tersebut selain bertujuan meneruskan tradisi nenek moyang secara turun-temurun.
Ustaz Syed Salim bin Syed hussin dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berkata demi meraikan adat, Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan beberapa syarat iaitu hendaklah disandingkan secara tertutup di hadapan muhrim atau keluarga terdekat dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat sahaja. Walau bagaimanapun, jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan atau untuk mengisytiharkan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin atau para jemputan mestilah menutup aurat serta tidak berhias dengan keterlaluan kecuali perhiasan yang biasa dilihat.Terdapat beberapa upacara tertentu yang menimbulkan sedikit kontroversi dalam adat persandingan ini. Antara upacara tersebut ialah upacara menabur beras kunyit, membaca jampi mentera, berandam, berhias untuk dipamerkan (tabarruj), mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran, menjadikan wang atau hadiah sebagai suatu kemestian, mas kahwin dan hantaran yang mahal, dan lain-lain lagi. Upacara-upacara yang sedemikian rupalah yang menyebabkan adat persandingan masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan isu khurafat, tahyul serta pembaziran. Oleh itu, upacara persandingan dalam masyarakat Melayu perlu dijalankan berlandaskan lunas-lunas Islam agar ia tidak membawa kepada kemurkaan Allah. Islam bukanlah seperti pendapat yang dilahirkanan oleh Niccolo Macmeivili yang mengatakan konsep “niat menghalalkan cara”. Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.
“Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram” menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu’asirat dan Halal & Haram fil Islam, halaman 36.
Selain dari itu, upacara perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu melibatkan perbelanjaan yang banyak dan besar. Situasi ini sememangnya mendorong kepada gejala pembaziran dalam masyarakat. Menurut Asma Farhana binti Anuar pelajar tahun akhir jurusan Usuluddin Universiti Malaya (UM) kebanyakan orang Melayu menganggap upacara walimah perlu dianjurkan secara besar-besaran kerana upacara ini hanya dilangsungkan sekali dalam seumur hidup. Oleh itu, perkara ini pada pandangan mereka tidak salah walaupun ia melibatkan isu pembaziran. Gejala ini dari perspektif Islam sememangnya tidak dianjurkan. Hal ini kerana, selain mewujudkan gejala pembaziran, gejala ini juga mampu memberikan pelbagai implikasi yang negatif dalam kehidupan masyarakat. Contohnya sifat riak dan takbur mungkin akan berleluasa dalam diri masyarakat. Pepatah Melayu yang berbunyi “biar papa asal bergaya” sememangnya tidak sesuai dijadikan pendirian dalam kehidupan kita. Islam merupakan agama yang mudah dan senang. Membicarakan isu walimah daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam)” (Hadis Riwayat Bukhari)Berdasarkan hadis ini, walimah daripada konteks Islam tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat Al-Quran:“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(pemboros) dengan melampau (Surah Al-Isra:26)
Di samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud:
“Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”
Menurut Abu Thohib bin Ahmat 70 tahun, amalan andaman yang mengarut dan salah disisi syariat islam seperti menepung tawar dengan tujuan memelihara pasangan pengantin daripada gangguan mahkluk halus, bercukur yang melibatan percukuran bulu pada bahagian anak rambut, muka, leher dan tangan dengan tujuan untuk menaikkan seri muka, melangir iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh dengan air ke bahagian badan yang dicukur dan bermandi bunga dan limau dengan harapan untuk membuang sial tidak lagi diamalkan sekarang. Walau bagaimanapun akhir-akhir ini telah timbul satu fomonena baru dimana juru andam atau lebih dikenali sebagai mak andam yang terdiri dari kaum lelaki lembut atau lebih glamour dipangggil ‘mak nyah’. Hal ini jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana aurat perempuan tidak boleh dipertontonkan kepada orang yang bukan muhrim.
Berinai adalah salah satu amalan semasa perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi saw tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra :
”Nabi melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda,” jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dgn inai).” (Abu Daud, 4166) dan (an-Nasa’iy 5092)
Haji Mohd Yusof Abdul Ghani, Hakim Syarie, Mahkamah Tinggi Pahang berkata ” memakai inai tidak salah selagi ianya tidak dipakai untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah “. Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
“Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi saw melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Za’faran (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum. Dilarang memakai za’faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za’faran dari segi mengeluarkan warna dan bau. Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam islam dibolehkan berdasarkan hadis
:”Dalam riwayat al-Bukhari daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan.
Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda:
” Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”
Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Dewasa ini, ramai juga yang mengundang kugiran atau deejay untuk tujuan hiburan, seringkali hiburan itu berlebihan dan sampai kepada peringkat melampau, bahkan yang lebih buruk lagi kadangkala terdapat juga yang menganjurkan joget lambak dan ada pula yang mengundang “mak nyah”! Hal ini jelas tidak sesuai dan haram.
Maka dengan itu, tiada sebarang sebab upacara perkahwinan dilarang dalam Islam, namun pelaksanaannya sahaja yang perlu berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan Islam.
Jelaslah, Islam bukan sesuatu agama yang memberati para penganutnya dalam melayari arus kehidupan di dunia ini. Islam secara mudahnya merupakan agama yang diwahyukan untuk semua jenis manusia yang terdapat di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam tidak pernah melarang sama sekali para penganutnya daripada mengamalkan kebudayaan dan kesenian yang terdapat dalam setiap bangsa. Namun, perlu difahami bahawa setiap amalan yang dipraktikkan itu perlu selaras dan selari dengan syariat Islam. Begitu jugalah halnya dengan isu perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Ia boleh dilakukan dan diamalkan selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

sumber: http://syikinyahya.wordpress.com

Social Icons

Featured Posts